Oleh Nur Fadhliana Shaari
JOHOR BAHRU, 28 Ogos -- Siapa sangka plastik roti yang lazimnya dibuang selepas habis isinya, boleh dikitar semula menjadi sehelai gaun bertemakan Hari Kebangsaan yang memukau, hasil kreativiti seorang wanita demi anak perempuannya sehingga tular di media sosial.
Norlina Esa, 52, berkata idea untuk menghasilkan kostum menggunakan bungkusan plastik roti dan beberapa bahan kitar semula tercetus apabila anaknya Amira Nur Zafira Nurizan, 9, kerap menyertai pertandingan fesyen Merdeka di sekolahnya di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Mutiara Rini 2, Skudai.
“Setiap tahun Amira masuk pertandingan fesyen Merdeka dan tahun ini saya mahu sesuatu yang benar-benar berbeza. Ketika membuat roti, saya terlihat bungkusan satu jenama roti dan warnanya mengingatkan saya kepada Jalur Gemilang. Daripada situlah tercetusnya idea,” katanya ketika ditemui di pejabat Bernama Biro Johor.
Dibantu anak sulungnya, Aliya Nur Batrisya, 22, mereka menyusun lebih 60 bungkusan plastik roti untuk menghasilkan skirt kembang, diserikan dengan hiasan 30 sudu plastik berbentuk kelopak bunga.
Baju pula dibuat daripada plastik kuning, manakala mahkota menggunakan gulungan surat khabar yang dilekatkan pada kadbod. Keseluruhan proses hanya mengambil masa seminggu.
Norlina berkata apa yang lebih penting bukan sekadar pertandingan tetapi semangat kekeluargaan dan mesej di sebalik usaha itu.
“Saya tidak sangka ia tular selepas dimuat naik oleh guru sekolah di TikTok. Saya terkejut tetapi gembira kerana daripada plastik roti pun kita boleh sampaikan mesej Merdeka. Semangat Merdeka bukan sekadar bendera atau perarakan tetapi tentang kreativiti dan hati yang ikhlas,” katanya.
Beliau berkata usaha kecil seperti itu mampu menyemai kesedaran bahawa patriotisme tidak semestinya ditunjukkan melalui perkara besar, sebaliknya ia boleh hadir dalam bentuk menjaga alam sekitar sambil meraikan identiti bangsa.
“Bagi saya, Merdeka bermakna kebebasan untuk memilih menjadi insan yang lebih baik untuk negara, keluarga dan juga bumi kita. Gaun plastik roti ini mungkin kecil nilainya tetapi bagi kami, ia simbol kebanggaan sebagai anak Merdeka,” katanya penuh semangat.
Video pertandingan fesyen Hari Kebangsaan yang dianjurkan SK Taman Mutiara Rini 2 tular di media sosial apabila murid-murid di sekolah itu memperagakan pakaian bertema Jalur Gemilang daripada bahan kitar semula sehingga mendapat perhatian netizen.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial