AM

Pindaan Akta Pendaftaran Negara 1959 Tambah Ciri Keselamatan Data Biometrik

27/08/2025 07:11 PM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Perekodan data biometrik yang dicadang menerusi pindaan Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 78) adalah melibatkan imej 10 cap jari, anak mata dan imbasan muka bagi menambah ciri keselamatan, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata terdapat keperluan penambahbaikan pengambilan perekodan dan penggunaan data biometrik yang bersesuaian dengan keadaan semasa selain tahap keselamatan serta kerahsiaan maklumat terutama berkaitan rekod pengenalan diri rakyat Malaysia.

“Ia juga selaras dengan cadangan melaksanakan pengeluaran kad pengenalan struktur baharu bagi meningkatkan ciri-ciri keselamatan kad pengenalan,” katanya.

Shamsul Anuar berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Pendaftaran Negara (Pindaan) 2025 yang kemudian diluluskan dengan lebih suara bersetuju di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau juga berkata untuk tempoh 2021 hingga Ogos 2025, sebanyak 795 tangkapan dibuat melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan daripada jumlah itu, seramai 326 individu telah didakwa melibatkan kesalahan memiliki kad pengenalan palsu serta menggunakan kad pengenalan milik orang lain.

Pada masa sama, Shamsul Anuar berkata Kementerian Dalam Negeri dan JPN kini dalam perancangan untuk mengeluarkan kad pengenalan generasi baharu dengan ciri keselamatan dipertingkat bagi menggantikan kad sedia ada yang digunakan sejak 2012.

Beliau berkata langkah itu bagi membendung isu pemalsuan dan penyalahgunaan selain memastikan ia selari dengan teknologi terkini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan