KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih Hong Leong Financial Group Bhd (HLFG) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2025 meningkat kepada RM3.25 bilion daripada RM3.19 bilion pada tahun kewangan sebelumnya, dipacu oleh prestasi yang lebih baik dalam perbankan komersial dan insurans.
Perolehan juga melonjak kepada RM7.21 bilion daripada RM6.65 bilion sebelumnya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) Tan Kong Khoon dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, prestasi yang lebih baik kumpulan itu dipacu oleh pertumbuhan perolehan sebanyak 8.5 peratus tahun ke tahun yang dipacu oleh pertumbuhan pinjaman melebihi industri, pengembangan margin faedah bersih serta pertumbuhan kukuh sebanyak 18.1 peratus tahun ke tahun dalam pendapatan bukan faedah (Noll).
Sementara itu, HLFG mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 52 sen sesaham yang menjadikan jumlah keseluruhan dividen kepada 72 sen sesaham bagi tahun kewangan 2025 iaitu peningkatan sebanyak 33.3 peratus berbanding tahun sebelumnya, menjadikan jumlah keseluruhan pembayaran dividen bagi tahun kewangan tersebut kepada RM827 juta.
Bahagian perbankan komersial kumpulan, Hong Leong Bank Bhd (HLB) pula mencatatkan peningkatan keuntungan bersih kepada RM4.27 bilion bagi tahun kewangan 2025 daripada RM4.19 bilion, disokong oleh pendapatan bersih yang lebih tinggi serta perolehan semula kerugian rosot nilai yang lebih tinggi bagi pinjaman.
Jumlah pendapatan HLB bagi tahun kewangan 2025 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 10.9 peratus kepada RM6.39 bilion, dipacu oleh pertumbuhan berterusan dalam portfolio pinjaman dan pembiayaan serta sumbangan daripada pendapatan bukan faedah.
Lembaga pengarah HLB mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 68 sen sesaham yang menjadikan jumlah dividen keseluruhan kepada 96.0 sen sesaham bagi tahun kewangan 2025, naik sebanyak 28 sen berbanding tahun sebelumnya.
“Ini bermakna nisbah pembayaran dividen lebih tinggi iaitu 46.6 peratus yang menandakan peningkatan ketara daripada 33.6 peratus tahun lepas, kata bank itu.
Dalam pada itu, bahagian perbankan pelaburan dan pengurusan aset HLFG, Hong Leong Capital Bhd (HLCB) melaporkan penurunan keuntungan bersih sebanyak 40.3 peratus tahun ke tahun bagi tahun kewangan 2025 kepada RM58.44 juta daripada RM97.91 juta pada tahun kewangan sebelumnya.
Penurunan keuntungan bersih itu terutamanya disebabkan oleh pulangan pelaburan ekuiti yang lebih rendah serta sumbangan yang berkurangan daripada perniagaan broker saham dan pengurusan dana.
Perolehan juga menurun kepada RM348.36 juta daripada RM400.38 juta sebelumnya.
Lembaga pengarah HLCB mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 19 sen bagi setiap saham biasa, menjadikan jumlah dividen keseluruhan sebanyak RM46.9 juta bagi tahun kewangan 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial