AM

Gempa Bumi: Kolej Komuniti Segamat Diberi Pelepasan Laksana PdP, BDR Selama Tiga Hari

25/08/2025 03:39 PM

PUTRAJAYA, 25 Ogos (Bernama) -- Kolej Komuniti Segamat (KKS) dan Kolej Komuniti Segamat 2 (KKS2) diberi pelepasan untuk melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian serta bekerja dari rumah (BDR) bermula hari ini hingga 27 Ogos, susulan gempa bumi lemah yang berlaku di Johor, awal pagi semalam.

Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelepasan itu diberikan selepas pemeriksaan awal yang dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Segamat.

“Pemeriksaan awal mendapati terdapat keretakan kecil pada dinding bangunan dan beberapa ruang bahagian dalam KKS namun ia tidak melibatkan kerosakan pada struktur dan bahagian rasuk struktur bangunan.

“Pemeriksaan bangunan utama di dua blok asrama KKS 2 yang menempatkan lebih kurang 200 pelajar turut dijalankan. Pelajar telah diarahkan pulang bagi memberi ruang kepada kerja pemeriksaan bangunan dengan lebih lanjut namun operasi pejabat akan berjalan seperti biasa,” menurut JPPKK.

Kenyataan itu memberitahu pihak JPPKK akan terus memantau rapat keadaan itu bersama agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan, kebajikan dan kelancaran operasi institusi terus terjamin.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan gegaran pertama berukuran 4.1 pada skala Richter di Segamat berlaku pada 6.13 pagi manakala gegaran kedua pada 9 pagi bermagnitud 2.8 di kawasan Yong Peng di Batu Pahat, iaitu kira-kira 28 kilometer di barat laut Kluang.

Polis mengesahkan menerima tiga laporan kerosakan harta benda susulan gegaran itu namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan