AM

Sejarah Tercipta, 8,000 Beruang Teddy Berjaya Bentuk Formasi Peta Palestin

24/08/2025 08:29 PM

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Usaha mengumpul sebanyak 8,000 beruang teddy bagi membentuk peta Palestin berjaya direalisasikan tepat 5.30 petang tadi hasil sumbangan orang awam serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pengarah Projek Malaysia Book of Records Persatuan Cinta Gaza Malaysia Ikmal Islam berkata kejayaan itu sekali gus melakar rekod baharu Malaysia Book of Records menerusi kategori “Most Teddy Bears in the Map Formation”.

“Alhamdulillah terima kasih, pada tepat 5.30 petang kita berjaya mengumpulkan 8,000 beruang teddy daripada orang awam dan sumbangan daripada NGO-NGO tertentu. 

“Alhamdulillah Malaysia Book of Records kali ini berjaya dan kita akan teruskan untuk buat rekod seterusnya,” katanya ketika ditemui di Karnival Sumud Nusantara 2025 di Dataran Merdeka di sini hari ini.

Terdahulu, orang ramai yang mengunjungi karnival itu teruja menyaksikan ribuan beruang teddy pelbagai jenis dan bewarna-warni yang dihimpunkan bagi melengkapkan formasi peta Palestin.

Program simbolik itu menyasarkan kutipan 8,000 beruang teddy bagi mewakili lebih 18,000 kanak-kanak Palestin terkorban di Gaza sejak serangan dan kekejaman berterusan Zionis.

Karnival Sumud Nusantara 2025 merupakan anjuran bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Cinta Gaza Malaysia dan dinaungi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Penaung Sumud Nusantara. 

Perdana Menteri dijadualkan hadir pada Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza di Dataran Merdeka yang menandakan acara kemuncak karnival itu.

Orang ramai mula hadir ke Dataran Merdeka dari awal pagi untuk bersama-sama memeriahkan karnival yang diisi dengan pelbagai program menarik.

Pengunjung yang hadir malam ini turut memakai pakaian putih sebagai simbol sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan