NILAI, 24 Ogos (Bernama) -- Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Negeri Sembilan menutup tirainya hari ini merekodkan kehadiran lebih 100,000 pengunjung sepanjang tiga hari berlangsung di Dataran Nilai di sini.
Ketua Setiausaha Kementerian Digital Fabian Bigar berkata bertemakan 'Digital Merentasi Generasi, Memperkasakan Komuniti', program berkenaan diterajui oleh Kementerian Digital mendapat sambutan mengalakkan setelah melepasi sasaran ditetapkan, iaitu 25,000 pengunjung.
Beliau berkata kementerian turut mendapat kerjasama Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) selaku sekretariat induk serta Kerajaan Negeri Sembilan sebagai tuan rumah bagi menjayakan PMR Negeri Sembilan kali ini.
"Pada hari pertama pengunjung hadir mencecah 24,000, pada hari kedua 77,000 dan pada hari terakhir melepasi angka 100,000. Terima kasih dan tahniah kepada semua pihak terlibat yang membantu menjayakan PMR Negeri Sembilan.
"Menariknya PMR di sini banyak menyediakan perkhidmatan langsung secara percuma seperti gunting rambut percuma, pemeriksaan kesihatan dan gigi percuma serta pelbagai aktiviti menarik membabitkan 26 agensi kementerian yang terlibat," katanya kepada Bernama.
Program tiga hari itu memberikan ruang kepada jabatan dan agensi di bawah kementerian untuk berinteraksi secara langsung dengan rakyat selain mempamerkan pelbagai inisiatif dan perkhidmatan digital yang ditawarkan.
Terdahulu, Fabian menyampaikan anugerah reruai terbaik kepada Kementerian Kesihatan (KKM) yang mendapat tempat pertama, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (tempat kedua) dan Kementerian Pertahanan (tempat ketiga).
Sementara itu, reruai Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan meriah dengan kehadiran lebih 1,000 pengunjung menjalani pemeriksaan kesihatan percuma yang bermula sejak Jumaat.
Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit JKNNS Dr Wan Nur Adilla Wan Alias berkata program memasuki hari ketiga hari ini mendapat sambutan luar jangkaan apabila lebih banyak yang hadir mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan percuma.
"Kami menyediakan pemeriksaan diabetes, gula, kolestrol, darah tinggi dan khidmat nasihat mengenai BMI (indeks jisim tubuh)," katanya.
Beliau berkata JKNNS juga menyediakan ruang khidmat nasihat di bahagian ubat farmasi, bahaya vape dan rokok, ruangan produk dan kecantikan serta kaunter pendaftaran bagi Skim Peduli Kesihatan untuk golongan B40 (Peka B40).
Wan Nur Adilla berkata sebanyak 900 petugas termasuk doktor daripada Klinik Kesihatan seluruh daerah negeri hadir bagi membantu menjayakan program berkenaan.
Pengunjung, M.Sathiya,36, berkata dia datang ke PMR ini untuk membeli-belah kemudian singgah ke reruai ini apabila mengetahui terdapat pemeriksaan kesihatan percuma.
Sathiya dari Seremban berkata program seperti itu perlu diteruskan kerana dapat memudahkan orang ramai menjalankan pemeriksaan kesihatan dengan cepat.
Maziah Rahman, 47, pula mencadangkan program kesihatan seperti itu dapat diteruskan setiap bulan di kawasan luar bandar bagi memudahkan penduduk setempat, terutamanya warga emas mendapatkan pemeriksaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial