NILAI, 22 Ogos (Bernama) -- Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) terus menjadi tumpuan setiap kali penganjurannya, kali ini pada Program MADANI Rakyat (PMR) Negeri Sembilan yang berlangsung di Dataran Nilai bermula pada hari ini.
Kebanyakan pengunjung memanfaatkan peluang itu untuk mendapatkan barangan keperluan asas pada harga lebih rendah daripada pasaran.
Pemandu teksi A. Sridaran, 66, dari Taman Desa Indah, di sini berkata dia sememangnya menantikan program berkenaan kerana mahu mendapatkan barangan pada harga lebih murah sekali gus dapat menjimatkan perbelanjaan untuk keperluan keluarga.
"Hari ini saya beli barang seperti lampin pakai buang untuk cucu, serta telur dan biskut. Semuanya hanya RM70, kalau beli di luar harganya lebih RM100.
"Saya akan pulang dan beritahu isteri nanti (mengenai program jualan ini) dan mungkin akan datang lagi untuk beli barang di sini. Saya gembira program seperti ini diadakan supaya golongan kurang berkemampuan boleh berjimat," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Juliana Razali, 38, yang bekerja sendiri pula berkata selain harga murah, lokasi program yang dekat dengan kawasan tumpuan orang ramai juga memudahkan mereka mencari barangan harian dengan harga murah tanpa perlu pergi ke tempat lebih jauh.
“Saya tahu tentang Jualan Rahmah hari ini daripada kumpulan WhatsApp, jadi saya ambil keputusan untuk datang hari ini, saya beli pelbagai barangan keperluan asas seperti minyak, biskut dan santan, memang harga murah 20 hingga 30 peratus,” katanya.
Dalam pada itu, Pegawai PJRM Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan Fatin Athirah Shahrul Nazmi berkata sebanyak 56 jenis barangan keperluan asas ditawarkan pada harga berpatutan sepanjang PMR selama tiga hari, dalam usaha meringankan beban kos sara hidup rakyat.
"Sambutan hari ini sangat menggalakkan, orang ramai tidak henti-henti datang dari pagi tadi. Hari ini juga kita ada buka kaunter eCOSS (Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak) untuk memudahkan orang ramai mendaftar dan membeli minyak masak bersubsidi dengan lebih mudah menerusi aplikasi itu.
"Selain PJRM, kita juga akan perluas penggunaannya ke premis-premis berkaitan," katanya.
Antara barangan yang dijual pada program itu ialah beras tempatan 10 kilogram (kg) pada harga RM26 sekampit, minyak masak botol 2 kg (RM9.50), telur gred C (RM7.50 sepapan) dan tepung gandum 1 kg (RM2.30).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka merasmikan PMR Negeri Sembilan esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial