KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih Bintulu Port Holdings Bhd bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2025 menyusut kepada RM34.73 juta daripada RM39.84 juta pada suku yang sama tahun lepas.
Hasil juga merosot sebanyak 1.05 peratus kepada RM194.82 juta berbanding RM196.89 juta sebelumnya, kata pengendali pelabuhan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Syarikat itu berkata hasil perkhidmatan Bintulu Port menurun kepada RM136.78 juta pada suku kedua tahun kewangan 2025 daripada RM145.98 juta setahun lepas, berikutan hasil yang lebih rendah daripada pengendalian kargo gas asli cecair (LNG).
Bagaimanapun, hasil daripada operasi Pelabuhan Perindustrian Samalaju meningkat kepada RM47.76 juta daripada RM40.81 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lepas.
Perbelanjaan pada suku dalam tinjauan meningkat RM6.66 juta kepada RM166.82 juta berbanding RM160.16 juta pada suku kedua 2024 terutamanya disebabkan oleh kos tenaga kerja dan pentadbiran yang lebih tinggi, kata pelabuhan itu.
“Lembaga pengarah mencadangkan dividen interim kedua satu peringkat sebanyak 3.0 sen sesaham ke atas 460 juta saham, berjumlah RM13.80 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2025, akan dibayar pada 8 Okt 2025,” katanya.
Bagi separuh pertama 2025, keuntungan bersih syarikat merosot kepada RM63.11 juta daripada RM84.55 juta bagi tempoah yang sama tahun lepas, manakala hasil susut kepada RM396.52 juta daripada RM405.57 juta.
Mengenai prospek, Bintulu Port berkata walaupun berlaku pengurangan hasil daripada pengendalian kargo LNG dan kapal yang berlabuh pada separuh pertama 2025 berikutan kerja-kerja penyelenggaraan utama yang dirancang di loji LNG Malaysia di Bintulu, hasil daripada LNG masih kekal sebagai penyumbang utama bagi tahun ini.
“Kumpulan menjangkakan jumlah kapal yang berlabuh dan jumlah kargo LNG akan bertambah baik pada separuh kedua 2025.
“Selain itu, terdapat pertumbuhan positif daripada kapal berlabuh bagi kargo metanol dan kargo projek Samalaju,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial