EKONOMI

MBW Innexus Industrial City Cipta 37,000 Pekerjaan, GDV RM2 Bilion – Tengku Zafrul

21/08/2025 09:35 AM

JOHOR BAHRU, 20 Ogos (Bernama) – Projek MBW Innexus Industrial City dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2 bilion dijangka mewujudkan kira-kira 37,000 peluang pekerjaan merangkumi pelbagai peringkat kemahiran, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, projek ini menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan perindustrian Malaysia dan akan menjana manfaat jangka panjang kepada tenaga kerja, perniagaan serta komuniti negara.

“Sebanyak 37,000 pekerjaan itu bukan sekadar angka, tetapi peluang yang akan meningkatkan taraf hidup keluarga dan mengubah komuniti.

"MBW Innexus akan mengembangkan asas perindustrian Malaysia, menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mengukuhkan daya saing serantau kita,” katanya semasa pelancaran projek itu di sini hari ini.

MBW Innexus Industrial City meliputi kawasan seluas 296 hektar tanah bernilai tinggi di Tanjung Langsat, Johor Bahru, Johor.

Pembangunan ini terletak secara strategik dalam Flagship D Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), menjadikannya sebahagian daripada apa yang dikenali sebagai “Segitiga Emas” kerjasama perindustrian Asia Tenggara yang menghubungkan Tanjung Langsat, Pasir Gudang dan Jurong di Singapura.

“Koridor ini mempunyai kedudukan yang unik untuk menjadi kluster perindustrian paling terhubung di rantau ini dengan menawarkan kepada pelabur integrasi rantaian bekalan rentas sempadan yang tiada tandingan,” kata Tengku Zafrul.

Beliau menekankan pembangunan ini juga akan mendapat manfaat daripada dasar perintis JS-SEZ yang direka untuk mengurangkan kerenah birokrasi selain mempercepatkan proses pelaburan dalam aspek seperti imigresen, kastam, kelulusan pelaburan dan mobiliti bakat.

Tengku Zafrul berkata, jarak projek yang berhampiran dengan institusi terkemuka termasuk Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Politeknik Ibrahim Sultan turut memastikan bekalan berterusan tenaga kerja mahir di samping mewujudkan peluang kerjasama di antara syarikat multinasional (MNC) dengan PKS tempatan.

Menurut Tengku Zafrul, kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri Johor dan sektor swasta menunjukkan kesepakatan yang kukuh dalam melaksanakan projek ini sekali gus mencerminkan komitmen Malaysia untuk menjadi negara yang mesra perniagaan, mesra pelaburan dan mesra industri.

“Mesej kami mudah iaitu Malaysia bukan sahaja tempat yang selamat untuk melabur, tetapi juga rakan kerjasama jangka panjang untuk pertumbuhan.

"Johor, dengan lokasi strategik dan ekonominya yang dinamik, bersedia menjadi tumpuan pelaburan industri generasi akan datang,” katanya.

— BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan