Oleh Siti Azila Alias
GEORGE TOWN, 17 Ogos (Bernama) -- Ketika seluruh rakyat Malaysia dengan rasa bangga mengibarkan Jalur Gemilang menjelang sambutan Hari Kebangsaan, semangat patriotisme, perpaduan dan harapan untuk masa depan turut dizahirkan melalui karya seni.
Setahun selepas tampil dengan 'negaraku', iaitu pameran yang mengangkat perjalanan negara dari zaman kemerdekaan hingga kemungkinan masa depan, pengumpul karya seni Bingley Sim dan isterinya, Ima Norbinsha kembali dengan 'negaraku II’, kesinambungan lebih berharga dan mendalam yang menyelami kompleksiti identiti rakyat Malaysia.
Berlangsung selama sebulan hingga 31 Ogos ini di Hin Bus Depot, Jalan Gurdwara di sini, pameran ‘negaraku II’ menampilkan karya menarik daripada koleksi peribadi Sim, 62, dan Ima, 63, dua pendukung seni kontemporari Malaysia yang penuh dedikasi.
Dengan Ivan Gabriel sebagai kurator, pameran ini menampilkan 35 karya daripada koleksi peribadi pasangan tersebut, sebahagiannya dipersembahkan dalam set bertema menjadikan jumlah keseluruhan karya individu sekitar 60, yang dibahagikan kepada enam bab.
Dalam temu bual bersama Bernama, Sim menjelaskan bahawa bab pertama bertajuk ‘Pejuang-Pejuang’, bermula dengan sebuah karya agung tahun 1511 oleh Edroger Rosili yang menggambarkan ketibaan Portugis, satu peringatan tentang sejarah yang tidak boleh dilupakan oleh rakyat Malaysia memandangkan nenek moyang mereka telah hidup di bawah pemerintahan penjajah selama berabad-abad.
Beliau berkata bab kedua pula 'Malaysia, Truly Asia' , mengambil inspirasi daripada slogan pelancongan terkenal, menonjolkan kepelbagaian budaya negara yang kaya sambil turut mengetengahkan cabaran yang wujud seiring dengan keindahannya.
“Bab ketiga, ‘Pendatang?’ cukup penting dalam pameran ini kerana ia sangat dekat di hati kurator, Ivan. Ia meneroka asal usul migran dalam kalangan ramai rakyat Malaysia. Sebenarnya, kebanyakan ibu bapa atau datuk nenek kita, termasuk saya sendiri adalah migran yang kemudiannya menjadi pendatang dari China,” katanya.
Dalam bab keempat bertajuk ‘Sama-sama’, Sim menjelaskan bahawa ia meraikan budaya makanan Malaysia sebagai jambatan penyatuan antara komuniti, sambil menyoroti hubungan sejarah yang melangkaui tempat makan popular.
Bab kelima, ‘Impian - Sebuah Impian Malaysia’, mencerminkan cita-cita dan kemajuan golongan muda Malaysia melalui simbol seperti potret bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak, yang membangkitkan inisiatif Buku Merah dan Buku Hijau, mewakili pembangunan luar bandar dan kemajuan negara.
Akhir sekali, bab keenam ‘Rakyat Hidup Bersatu dan Maju’, menampilkan visi yang penuh harapan tentang perpaduan dan kemajuan, sebagai penutup pameran yang menginspirasikan itu.
“Untuk menyusun keseluruhan karya ini sebenarnya satu kejayaan buat kurator, beliau telah menyusun dan memilih karya dari ruang seni saya. Jadi saya suka menganggap bahawa ‘Negaraku II’ sebenarnya adalah usaha pemasangan oleh Ivan terhadap hasil koleksi saya dan isteri saya,” kata Sim.
Sementara itu, Ivan menyifatkan ‘negaraku II’ sebagai satu renungan tentang rasa kepunyaan dan menghargai pelbagai wajah serta kisah yang belum diceritakan yang menghidupkan sesebuah negara.
“Dengan membahagikan pameran ini kepada beberapa bab bertema, kita ingin membawa pengunjung menelusuri kisah yang menyentuh soal kebanggaan, migrasi, makanan dan aspirasi bersama, sekali gus memberi ruang kepada orang ramai untuk memberi makna tersendiri dalam perjalanan ini,” katanya.
Selain daripada karya seni itu sendiri, Ivan berkata ‘negaraku II’ disemarakkan lagi melalui program awam yang dinamik termasuk lawatan berpandu dalam pelbagai bahasa iaitu Inggeris, Melayu, Mandarin dan bahasa isyarat bagi memastikan semua orang, tanpa mengira latar belakang atau keupayaan merasa dialu-alukan.
Memperkaya lagi pengalaman tersebut diadakan demonstrasi makanan yang menampilkan sajian hidangan tradisional seperti roti jalan dan nasi ulam.
Pameran ‘Negaraku II’ dibuka kepada orang ramai hingga 31 Ogos ini dari 12 tengah hari hingga 7 malam pada hari bekerja, dan 11 pagi hingga 7 malam pada hujung minggu, dan masuk percuma untuk semua pengunjung.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial