JENAYAH & MAHKAMAH

Pengarah Syarikat Didakwa 13 Pertuduhan Guna Tuntutan Perjalanan, Invois Palsu

13/08/2025 05:20 PM

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Seorang pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas 13 pertuduhan menggunakan tuntutan perjalanan dan invois palsu berjumlah RM33,000, dua tahun lepas.

Foong Lai Sim, 51, Pengarah Inovix (M) Sdn Bhd yang menjalankan perniagaan cenderamata premium dan korporat, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Wanita itu didakwa menggunakan tuntutan perjalanan bagi baucar pembayaran palsu yang mengandungi tuntutan perbatuan dan elaun perjalanan serta satu invois pembelian penyaman udara dengan jumlah keseluruhan RM33,000, sedangkan perjalanan tersebut tidak dilakukan manakala penyaman udara itu untuk kegunaan sendiri.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Desa Petaling, antara Februari hingga Disember 2023, mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Suzana Hussin memerintahkan Foong diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin, selain perlu melapor diri sebulan sekali di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah turut memerintahkan supaya dia menyerahkan pasport antarabangsa sehingga kes selesai dan menetapkan 25 Sept ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Selangor Asmaa' Zamri serta Muaz Ahmad Khairuddin manakala peguam Lim Kon Keen mewakili tertuduh.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan