KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- ASEAN perlu memperkukuh kerjasama dalam latihan kemahiran bagi memenuhi keperluan ekonomi abad ke-21, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim.
Beliau berkata kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI) seperti pelancaran terbaru ChatGPT 5.0 menguatkan kebimbangan bahawa AI berpotensi menggantikan tenaga kerja yang dilatih secara konvensional sekali gus mengurangkan nilai isyarat kelayakan akademik.
“Dalam era apabila AI mampu berfikir, dunia masih memerlukan individu yang boleh membina, membaiki, mengendalikan, berkomunikasi, menyelia dan mengurus - ini adalah elemen kemanusiaan dan sosial yang memerlukan kemahiran, kecekapan dan kepercayaan,” katanya ketika berucap pada perasmian Persidangan Pendidikan dan Latihan Kemahiran dan Vokasional (TVET) ASEAN 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Persidangan itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara.
Sim mencadangkan tiga langkah bagi memperkukuh kerjasama ASEAN dalam TVET iaitu berkongsi pengalaman dalam latihan kemahiran, mewujudkan rangka kerja pensijilan bersama untuk pengiktirafan serta meningkatkan pelaburan dalam pendidikan kemahiran.
Beliau berkata Malaysia yang memperuntukkan RM10 bilion setahun bagi TVET, telah membuka Minggu Latihan Kebangsaan kepada peserta ASEAN dengan menawarkan lebih 72,000 kursus latihan percuma membabitkan kos RM400 juta kepada 3.5 juta orang.
“Malaysia tekad menjadikan ASEAN antara rantau paling berkemahiran di dunia...dalam keadaan geoekonomi yang tidak menentu dan sukar diramal, kita perlu berusaha membina masa depan dari sekarang,” katanya.
Sementara itu, menerusi rakaman ucapan Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn menggesa agar sistem TVET menjadi pemangkin kepada inovasi, keterangkuman dan produktiviti dalam menghadapi peralihan digital dan hijau yang pesat.
“Penyatuan inovasi digital dan peralihan hijau sedang membentuk semula ekonomi, industri dan pasaran buruh kita. TVET mesti berkembang melepasi peranan tradisional untuk menjadi pemangkin kepada inovasi, keterangkuman dan peningkatan produktiviti,” katanya.
Beliau menyeru supaya wujud kerjasama lebih erat antara institusi latihan dan industri, penyepaduan kemahiran hijau dalam kurikulum serta inovasi berskala besar bagi membekalkan tenaga kerja ASEAN dengan kemahiran untuk ekonomi rendah karbon.
Pada masa sama, Sim turut menegaskan bahawa Tahun Kemahiran ASEAN 2025 merupakan satu seruan untuk bertindak bagi memastikan ekosistem kemahiran di rantau ini bukan sahaja sesuai dengan keperluan masa depan tetapi juga dibentuk secara aktif.
Sementara itu, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) turut menggesa ASEAN menyelaraskan sistem TVET dengan tuntutan peralihan digital dan hijau bagi memastikan peluang latihan yang inklusif serta mudah diakses oleh semua.
Penolong Ketua Pengarah ILO merangkap Pengarah Serantau bagi Asia dan Pasifik Kaori Nakamura-Osaka berkata pihaknya berbangga dapat bekerjasama dengan negara anggota ASEAN dalam mempromosikan dasar kemahiran yang inklusif, berorientasikan masa depan serta berlandaskan pekerjaan bermaruah.
Beliau berkata kemahiran lapuk, kapasiti latihan yang terhad dan hubungan industri lemah mengehadkan potensi pelajar serta perusahaan, dan pada masa sama menegaskan bahawa tiada siapa boleh dipinggirkan dalam mendapatkan peluang latihan seiring perkembangan ekonomi ASEAN.
ATVET 2025 berlangsung selama dua hari yang bertemakan Advancing Digital and Green Transformations through an Inclusive and Future-Ready TVET System menghimpunkan lebih 1,500 perwakilan bagi membincangkan usaha menjadikan TVET pemacu transformasi digital dan hijau yang inklusif di ASEAN.
Anjuran bersama Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) dan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran Malaysia (PTPK) merupakan platform utama keempat di bawah Tahun Kemahiran ASEAN (AYOS) 2025 yang menampilkan 23 penceramah serta penyertaan dalam kalangan pembuat dasar, pemimpin industri, penyedia pendidikan, pertubuhan pekerja serta rakan antarabangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial