Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Ringgit meneruskan pengukuhannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang utama lain pada sesi awal hari ini, menjelang pengumuman data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2025 pada Jumaat ini, kata penganalisis.
Beliau berkata para peniaga kini memberi tumpuan terhadap pengumuman KDNK Malaysia bagi mendapatkan petunjuk dasar monetari.
Namun, katanya, berikutan tumpuan pasaran terhadap rundingan perdagangan, ada kemungkinan data terkini itu perlu mengatasi jangkaan awal bagi memacu sentimen positif terhadap ringgit.
Pada 8 pagi ini, ringgit mengukuh ke paras 4.2270/2460 berbanding dolar AS daripada 4.2320/2360 pada akhir urus niaga semalam.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit dijangka diniagakan dalam julat 4.23 hingga 4.25 berbanding dolar AS, hari ini.
Beliau berkata Indeks Dolar AS (DXY) naik 0.35 peratus kepada 98.52 mata menjelang pengumuman laporan Indeks Harga Pengguna AS (IHP) malam ini dengan jangkaan awal IHP keseluruhan dan teras pada kadar lebih tinggi iaitu masing-masing pada 2.8 peratus dan 3.0 peratus bagi Julai berbanding 2.7 peratus dan 2.9 peratus pada Jun.
“Dalam senario sedemikian, Rizab Persekutuan AS (Fed) dijangka mengekalkan kadar faedah pada mesyuarat akan datang September ini yang dilihat sebagai menyokong dolar AS,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata selain itu, bank pusat Australia akan mengumumkan keputusan kadar faedahnya hari ini dengan konsensus menjangkakan pengurangan sebanyak 25 mata asas kepada 3.60 peratus.
Sementara itu, sewaktu urus niaga dibuka hari ini, ringgit turut mengukuh berbanding mata wang utama lain.
Ini termasuk meningkat berbanding yen kepada 2.8528/8658 daripada 2.8657/8686, mengukuh berbanding euro kepada 4.9097/9317 daripada 4.9269/9316 dan naik berbanding pound British kepada 5.6777/7032 daripada 5.6933/6987.
Ringgit juga mengukuh berbanding mata wang serantau lain, termasuk naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2841/2999 daripada 3.2936/2973 dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.0198/0884 daripada 13.0569/0769.
Unit tempatan itu turut naik berbanding rupiah Indonesia kepada 259.6/260.9 daripada 259.9/260.3 dan mengukuh berbanding peso Filipina kepada 7.41/7.44 daripada 7.42/7.43.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial