AM

Thailand, Kemboja Capai Kata Sepakat Pelaksanaan Gencatan Senjata

06/08/2025 08:47 PM

Oleh Mohd Firdaus Md Saisi

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Perbincangan peringkat sekretariat antara Thailand dan Kemboja yang berlangsung selama tiga hari sejak Isnin llepas berjaya mencapai kata sepakat secara dasar berhubung pelaksanaan gencatan senjata di sempadan kedua-dua negara.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata persetujuan itu turut melibatkan terma rujukan (TOR) pemantauan oleh Pasukan Pemerhati Atase Pertahanan ASEAN interim dan Pasukan Pemerhati Atase Pertahanan ASEAN (AOT).

“Alhamdulillah, secara dasar kata sepakat telah dicapai. Namun, masih terdapat beberapa perkara yang sedang diperhalusi dan akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) Luar Biasa yang dijadualkan esok,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Mesyuarat selama tiga hari itu diadakan di Wisma Perwira, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dengan penyertaan 40 wakil dari Thailand dan Kemboja sebagai persediaan kepada Mesyuarat GBC Luar Biasa.

Selain Malaysia, Pasukan Pemerhati Atase Pertahanan ASEAN interim turut disertai oleh Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura dan Vietnam. Misi pemantauan mereka bermula pada 3 Ogos lepas.

Semalam, Mohd Nizam berkata Malaysia tidak menyertai mesyuarat sekretariat tersebut secara langsung, sebaliknya hanya bertindak sebagai pemudah cara menjelang Mesyuarat GBC Luar Biasa esok.

Thailand dan Kemboja sebelum ini bersetuju melaksanakan gencatan senjata berkuat kuasa tengah malam 28 Julai lepas, hasil mesyuarat khas yang diadakan di Malaysia.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya dan disertai Perdana Menteri Kemboja Hun Manet serta Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai.

Kedua-dua pemimpin bersetuju terhadap pelaksanaan gencatan senjata susulan ketegangan yang memuncak antara dua negara Asia Tenggara itu.

Ketegangan memuncak sejak 28 Mei lepas berikutan insiden pertempuran di kawasan sengketa Preah Vihear yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan