AM

Moscow Bersedia Sambut Keberangkatan Tiba Sultan Ibrahim

04/08/2025 10:17 PM

Daripada Noor Farhana Ahmad Norain

MOSCOW, 4 Ogos (Bernama) -- Moscow bersedia menyambut keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang akan memulakan Lawatan Negara pertama Seri Paduka Baginda ke Rusia bermula esok hingga 10 Ogos.

Duta Besar Malaysia ke Rusia Datuk Cheong Loon Lai berkata Yang di-Pertuan Agong menzahirkan harapan agar pertemuan Seri Paduka Baginda dengan Presiden Vladimir Putin pada Rabu ini mampu membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala Malaysia-Rusia.

"Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan bahawa kedua-dua pemimpin dapat mengadakan perbincangan yang produktif terutamanya dalam perkara-perkara yang mempunyai kepentingan bersama," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata Sultan Ibrahim turut mengagumi nilai sejarah dan teknologi di Rusia malah telah banyak berinteraksi dengan negara itu dalam bidang perdagangan serta pelaburan sejak pemerintahan Seri Paduka Baginda sebagai Sultan Johor.

"Tuanku juga mempunyai minat yang sama dengan Presiden Putin seperti aktiviti menunggang kuda," katanya.

Lawatan atas undangan Putin itu disifatkan sebagai bersejarah dan bermakna kerana ia merupakan kunjungan pertama oleh Ketua Negara Malaysia ke Rusia sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada 1967.

Dua lokasi acara lawatan di Moscow iaitu Pusat Pembangunan Teknologi Automotif Rusia (NAMI) serta Pusat Teknologi dan Inovasi Tochka Kipeniya juga bersedia menyambut keberangkatan tiba Sultan Ibrahim.

"Seri Paduka Baginda juga berkenan mencemar duli melawat NAMI bagi meninjau dan meneroka teknologi automotif Rusia khususnya dalam bidang penyelidikan dan pembangunan. 

"Lawatan ini memberi peluang kepada Tuanku melihat sendiri kemajuan teknologi Rusia memandangkan minat mendalam Tuanku dalam industri automotif," katanya.

Cheong berkata lawatan Sultan Ibrahim ke Tochka Kipeniya juga memberi peluang kepada Malaysia untuk meneroka penyelesaian inovatif Rusia dalam bidang pembangunan dron dan robotik melalui aplikasi kecerdasan buatan (AI) untuk kegunaan awam, keselamatan, pertahanan, alam sekitar, projek angkasa lepas serta biodron.

Terdahulu, beliau menghadiri sesi taklimat berhubung acara Sambutan Negara di Kremlin, lokasi pertemuan rasmi Sultan Ibrahim dengan Putin.

Hadir sama Ketua Protokol Kementerian Luar Datuk Yubazlan Yusof, Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri Datuk Rozainor Ramli dan Datuk Paduka Maharaja Lela Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini. 

Sultan Ibrahim berangkat dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia di Subang pada 8.55 pagi (waktu Malaysia) dan dijadual tiba di sini pada Selasa (waktu tempatan). 

Selepas Moscow, Seri Paduka Baginda dijadual berangkat mengadakan lawatan ke Kazan dari 8 hingga 10 Ogos.

Sultan Ibrahim menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan 2024.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan