DUNIA

Dagangan Luar China Terus Berkembang Stabil

13/06/2025 06:01 PM

BEIJING, 13 Jun (Bernama-CMG) -- Sektor perdagangan luar China terus berkembang dengan stabil sejak awal tahun ini biarpun berdepan persekitaran yang kompleks.

Jurucakap Kementerian Perdagangan (MOFCOM) He Yadong berkata prestasi memberangsangkan itu didorong oleh kesungguhan syarikat terlibat dalam melakukan inovasi serta pelaksanaan pelbagai dasar dan insentif yang diperkenalkan kerajaan.

Dalam tempoh Januari hingga Mei 2025, jumlah import dan eksport antara China dengan negara-negara terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) serta anggota ASEAN masing-masing menokok 4.2 peratus dan 9.1 peratus tahun ke tahun.

Dalam pada itu, eksport produk mekanikal dan elektrik China mencatat kenaikan sebanyak 9.3 peratus dan menyumbang 60 peratus kepada nilai keseluruhan eksport negara.

Untuk tempoh sama, import dan eksport syarikat swasta meningkat tujuh peratus dengan menyumbang 57.1 peratus kepada keseluruhan dagangan luar.

Sementara itu, import dan eksport syarikat asing mengekalkan pertumbuhan selama empat bulan berturut-turut.

Antaranya, terdapat lebih 73,000 syarikat asing yang menjana nilai import dan eksport di China, sekali gus mencipta rekod tertinggi dalam tempoh lima tahun.

Jurucakap itu berkata China akan terus memperluas keterbukaan bertaraf tinggi dan menangkis ketidaktentuan luaran menerusi pembangunan berkualiti tinggi.  

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan