EKONOMI

InvestKL Raih Pelaburan Komited RM2.8 Bilion Pada Separuh Pertama 2025

06/08/2025 12:24 PM

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Agensi pelaburan utama untuk Greater Kuala Lumpur (KL),  InvestKL meraih pelaburan komited bernilai RM2.8 bilion pada separuh pertama 2025, menubuhkan lima hab serantau baharu di kawasan tersebut dan mewujudkan 1,197 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL Datuk Muhammad Azmi Zulkifli berkata pelaburan ini menunjukkan keyakinan yang berterusan terhadap asas ekonomi Malaysia yang kukuh dan merupakan pencapaian penting dalam meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan di rantau ini.

“Apabila syarikat global menyesuaikan dengan keadaan pasaran yang berubah termasuk penjajaran semula perdagangan dan kenaikan tarif, Greater KL menawarkan ekosistem yang sedia untuk masa depan, disokong oleh infrastruktur yang baik, bakat bertaraf dunia dan sokongan proaktif daripada kerajaan.

“Kami turut menyaksikan momentum kukuh dalam pelaburan berasaskan kecerdasan buatan, digital dan teknologi. Ia merupakan bukti kepada tumpuan strategik Malaysia terhadap aktiviti bernilai tinggi, diterajui inovasi yang akan memastikan daya saing dan daya tahan ekonomi dalam jangka panjang,” katanya.

Menurut InvestKL dalam kenyataan, pencapaian ini mengukuhkan lagi kedudukan Greater KL sebagai destinasi strategik kepada syarikat global yang melabur dalam perkhidmatan bernilai tinggi dan berasaskan inovasi, tonggak utama dalam strategi Malaysia untuk daya tahan ekonomi dalam jangka panjang.

Katanya sebanyak 1,197 pekerjaan baharu merangkumi fungsi serantau, pakar dan sokongan, dengan purata gaji eksekutif melebihi RM11,700 sebulan.

Katanya pelaburan baharu ini meliputi sektor termasuk infrastruktur teknologi maklumat, penjagaan kesihatan pengguna, sains bahan, perkhidmatan aset kewangan dan tenaga boleh baharu.

Hab ini akan berperanan sebagai platform untuk pertumbuhan serantau, memacu kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai perkhidmatan global, katanya.

“Ini menjadikan pencapaian terkumpul InvestKL kepada lebih 150 hab perkhidmatan global dan 31,000 pekerjaan berkemahiran tinggi sejak penubuhannya.

“(Ini sejajar) dengan Kerangka Ekonomi MADANI, Aspirasi Pelaburan Nasional, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 serta Rancangan Malaysia Ke-12 dan Ke-13, kesemuanya menekankan kepada pertumbuhan didorong oleh perkhidmatan, inovasi dan pembangunan yang inklusif,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan