AM

TEKNOLOGI PENGIMBAS AI UTM BANTU BENDUNG PENYELUDUPAN, ANCAMAN RADIOAKTIF

12/08/2025 12:03 PM

JOHOR BAHRU, 12 Ogos (Bernama) -- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melakar sejarah sebagai institusi pertama di Asia Tenggara membangunkan teknologi Portal Pemantauan Sinaran (RPM) dan Mesin Pengimbas Kargo Pandu Lalu Berbilang Pandangan yang dilengkapi kecerdasan buatan (AI).

Ketua Projek Malaysia Laboratories for Academia-Business Collaboration (MyLAB) 2/2020 Prof Dr Suhairul Hashim berkata teknologi ituberfungsi sebagai benteng pertahanan awal negara dalam mengekang penyeludupan barangan berbahaya termasuk senjata, bahan letupan dan bahan radioaktif yang boleh digunakan untuk tujuan keganasan.

Beliau berkata pasukan penyelidik UTM membangunkan Pengimbas Kargo Pandu Lalu yang menggunakan sinar-X berkuasa tinggi dan AI untuk menembusi kontena keluli serta mengesan kandungan sebenar termasuk barangan terlarang seperti senjata, dadah, alkohol dan rokok.

“Sistem ini dilengkapi pembelajaran mesin dan pangkalan data imej barangan larangan bagi membolehkan pengecaman automatik tanpa memerlukan kepakaran saintifik oleh pegawai kastam.

“Sistem ini turut menyimpan imej objek seperti peluru, senapang dan meriam, yang akan dibandingkan secara automatik apabila sesuatu kenderaan melalui mesin pengimbas,”  katanya ketika ditemui Bernama sempena Mesyuarat Tahunan Ke-12 Rangkaian Badan Kawal Selia Tenaga Atom ASEAN (ASEANTOM) di sini semalam.

Beliau berkata RPM dan Pengimbas Kargo ini juga boleh dipantau secara masa nyata melalui telefon pintar, membolehkan pemantauan jarak jauh terhadap sebarang cubaan membawa masuk bahan berbahaya.

“Dalam sistem RPM, padanan templat digunakan untuk membezakan antara sinaran selamat seperti seramik, granit atau radioisotop perubatan dan sinaran berbahaya yang mungkin mengandungi bahan radioaktif

“Apabila kargo atau kenderaan dikesan membawa corak sinaran mencurigakan, sistem secara automatik mengaktifkan penggera dan memberi amaran kepada petugas kastam untuk siasatan lanjut,” katanya.

Suhairul yang juga Profesor di Jabatan Fizik, Fakulti Sains UTM berkata RPM dan mesin pengimbas kargo itu memainkan peranan penting dalam pemeriksaan di pelabuhan, sempadan dan pusat pemeriksaan utama, bagi mencegah ancaman keselamatan serta mengelak ketirisan hasil negara.

Beliau berkata idea membangunkan teknologi tersebut tercetus semasa pandemik COVID-19 apabila mesin pengimbas import gagal diselenggara kerana ketiadaan juruteknik luar negara, menyebabkan peningkatan kes penyeludupan.

Sepuluh penyelidik daripada Fakulti Sains dan Fakulti Komputeran turut terlibat dalam projek dengan dua paten dan satu tanda dagangan telah difailkan ke Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) untuk menyokong aktiviti pengkomersialan selepas ini.

Suhairul  berkata sejak dikomersialkan, teknologi itu telah digunakan di beberapa pintu masuk negara termasuk Kuantan, Pasir Gudang, Westport dan Bukit Kayu Hitam serta dijual ke Indonesia sebanyak 11 unit.

“UTM turut menjadi satu-satunya pusat kajian dan penyelidikan (R&D) teknologi pengimbas keselamatan di Asia Tenggara, dengan 70 peratus tenaga kerjanya terdiri daripada graduan universiti itu,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Billion Prima Lee Yuh Jiunn berkata kerjasama strategik itu membolehkan negara menangani ancaman penyeludupan dan radiologikal secara lebih berkesan dengan memanfaatkan kepakaran tempatan dalam AI dan teknologi keselamatan.

Pembangunan produk yang telah melepasi ujian piawaian ANSI N42.35-2016 dan IEC 61000-6-2:2019 bagi membolehkan ia menembusi pasaran antarabangsa itu, bermula pada 2022 dengan dana RM1.06 juta daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), disusuli tambahan RM551,000 daripada syarikat industri, Billion Prima Sdn Bhd.

Bagi fasa seterusnya, Billion Prima menyediakan tambahan dana RM1.3 juta untuk penyelidikan selama empat tahun sekali gus memperkukuh kepakaran UTM dalam bidang AI dan keselamatan sempadan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan