KOTA KINABALU, 10 Ogos (Bernama) -- Lebih 50 orang awam termasuk petugas media berkumpul di pekarangan Hospital Queen Elizabeth (HQE) I seawal 8 pagi ini, bagi mengikuti perkembangan proses bedah siasat jenazah Zara Qairina Mahathir.
Bedah siasat ke atas jenazah remaja berusia 13 tahun itu, yang dibawa ke hospital berkenaan pada 10.30 malam tadi, dijangka dijalankan pagi ini.
Selesai bedah siasat, jenazah akan diserahkan kepada keluarga untuk dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang, kira-kira 130 kilometer dari sini.
Cuaca di Kota Kinabalu pagi ini cerah, berbeza dengan hujan lebat berterusan yang mengiringi proses gali semula jenazah di Sipitang semalam.
Proses gali semula semalam selesai pada 7.15 malam, sebelum jenazah dibawa ke HQE I yang mengambil masa perjalanan kira-kira tiga jam.
Jumaat lepas, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan memaklumkan mayat Zara Qairina perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar berkenaan.
AGC berpendapat bahawa terdapat keperluan untuk siasatan lanjut diambil oleh Polis Diraja Malaysia demi memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.
Zara Qairina, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai lepas.
Pelajar itu dibawa ke hospital berkenaan selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi, 16 Julai lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial