AM

AI Pemacu Utama Daya Saing P.Pinang - Chow

08/08/2025 04:18 PM

GEORGE TOWN, 8 Ogos (Bernama) -- Pulau Pinang selaku negeri memfokuskan kepada ekonomi berasaskan pengetahuan serta inovasi, mengenal pasti teknologi kecerdasan buatan (AI) sebagai pemacu utama daya saing dan kemampanan jangka panjang.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata menerusi Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, Al berperanan penting dalam memperkasakan pendidikan digital, meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam pintar, merangsang pertumbuhan keusahawanan digital dan ekonomi inovasi yang inklusif.

“Inisiatif itu turut disokong rangka kerja Pelan Induk Ekonomi Digital Pulau Pinang (2025-2030) yang menggariskan tiga komponen utama pembangunan termasuk pendigitalan perniagaan, pembangunan bakat digital tempatan, pengukuhan ekosistem syarikat pemula (startup) dan teknologi tinggi termasuk pembinaan hab Al, pusat data serta inkubator teknologi," katanya. 

Chow berkata demikian ketika merasmikan AI Horizon 2025 di Arena Spice dekat sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri II Jagdeep Singh Deo. 

 Majlis berkenaan dianjurkan oleh Tech Dome Penang, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dan Penang STEM.

Chow berkata Al Horizon 2025 bukan sekadar pameran teknologi tetapi merupakan platform strategik menghimpunkan pihak berkepentingan daripada pelbagai latar belakang dalam usaha memperkukuh pemahaman, aplikasi dan inovasi Al di peringkat nasional mahupun global.

Beliau berkata ia juga selaras dengan hasrat kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju Al serantau menjelang 2030.

“Kerajaan negeri percaya persediaan untuk masa depan digital tidak boleh ditangguhkan dan teknologi seperti Al perlu dibudayakan serta difahami. 

“Ini bukan sahaja oleh golongan profesional tetapi diperkenalkan seawal mungkin di sekolah rendah, menengah, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pengajian tinggi,” katanya.

Chow berkata penyertaan lebih 50 syarikat teknologi dari dalam dan luar negara sebagai pempamer bersama lebih 50 organisasi rakan strategik dan kehadiran ribuan pelawat pelbagai lapisan masyarakat membuktikan rakyat Malaysia khususnya warga Pulau Pinang bersedia menerima kemajuan teknologi sekali gus berpotensi menjadi peneraju dalam era AI.

Program sehari itu menawarkan pelbagai aktiviti berasaskan Al antaranya pertandingan menguji kreativiti dan pemikiran kritikal generasi muda, program jurutera muda dan persidangan menghimpunkan pakar serta penggiat industri untuk membincangkan hala tuju dan perkembangan teknologi.

Turut berlangsung forum awam serta pameran inovasi daripada syarikat multinasional, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat pemula tempatan yang menampilkan pelbagai penyelesaian dan produk berasaskan Al.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan