KOTA BHARU, 8 Ogos (Bernama) -- Penduduk negeri ini diseru merebut peluang untuk meneroka kecanggihan sains, teknologi dan inovasi yang dipamerkan sempena Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Kelantan bagi meningkatkan produktiviti serta kesejahteraan.
Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata perkhidmatan dan produk yang disediakan merangkumi bidang seperti pertanian, perladangan dan perikanan dengan menawarkan peluang kepada rakyat untuk menggunakan teknologi terkini.
Beliau berkata sebahagian daripada penyelesaian kepada masalah dalam bidang berkenaan menerusi sains, teknologi dan inovasi telah ada tetapi masih kurang diketahui mereka yang terlibat.
"Mereka merasakan apa yang dibuat itu sudah terbaik kerana ada keuntungan serta sudah maju tetapi jika mereka menggunakan sains dan teknologi seperti Internet benda (IoT), dron dan sebagainya, produktiviti dan pendapatan mereka boleh meningkat," katanya kepada Bernama selepas melawat reruai agensi kerajaan dan swasta sempena PMR 2025 Kelantan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini hari ini.
Sementara itu, seorang pengunjung Ab Wahab Mokhtar, 44, berkata PMR 2025 Kelantan yang bertemakan “Sains, Teknologi dan Inovasi Untuk Kesejahteraan Rakyat” dilihat amat sesuai untuk rakyat di negeri ini kerana dapat menambahkan ilmu pengetahuan terutama dalam penggunaan teknologi yang semakin canggih.
PMR 2025 Kelantan yang berlangsung selama tiga hari hingga esok diterajui MOSTI dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) serta disokong oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan lain.
Program ini menawarkan lebih 100 perkhidmatan terus kepada rakyat, pameran teknologi terkini serta pelbagai inisiatif mendekati masyarakat melalui pendekatan menyeluruh Kerajaan MADANI.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial