AM

Had Umur Persaraan Wajar Disemak Mengikut Sektor, Bukan Diseragamkan - Pakar

07/08/2025 12:12 PM

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Cadangan untuk menaikkan had umur persaraan wajar diberi pertimbangan, namun pelaksanaannya perlu disesuaikan mengikut sektor tertentu yang memerlukan kepakaran serta kemahiran intelektual, kata Pakar Ekonomi Putra Business School (PBS) Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Ahmed Razman Abdul Latiff.

Beliau berkata langkah tersebut tidak sesuai dilaksanakan secara menyeluruh memandangkan terdapat sektor yang bergantung kepada kekuatan fizikal, yang boleh membebankan pekerja apabila usia semakin meningkat.

“Sektor seperti pendidikan, pentadbiran atau perundingan lebih sesuai untuk mempertimbangkan had persaraan yang lebih tinggi kerana ia bergantung kepada pengalaman dan keupayaan berfikir secara kritikal. Namun, bagi pekerjaan yang memerlukan tenaga fizikal, langkah ini mungkin kurang praktikal,” katanya kepada Bernama hari ini.

Semalam, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memaklumkan bahawa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan melaksanakan kajian menyeluruh berhubung cadangan menaikkan umur persaraan wajib penjawat awam kepada 65 tahun.

Beliau menjelaskan bahawa cadangan itu masih di peringkat awal dan memerlukan penelitian mendalam sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

Mengulas lanjut, Dr Ahmed Razman berkata penetapan had umur persaraan perlu diteliti secara khusus, mengambil kira dapatan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebelum ini yang menunjukkan sebahagian besar pencarum sektor swasta tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk menampung kehidupan selepas bersara.

Menurutnya, sebarang kenaikan had persaraan juga perlu diselaraskan dengan strategi pelbagai hala (multi-pronged strategy) yang merangkumi pengukuhan sistem perlindungan sosial, pemanfaatan aset wakaf serta pelaksanaan konsep bank masa atau time bank sebagai inisiatif menangani cabaran penjagaan warga emas apabila Malaysia mencapai status negara tua menjelang 2043.

“Bank masa memberi peluang kepada individu menyumbang masa dan tenaga semasa usia muda, yang kemudiannya boleh ditebus sebagai perkhidmatan penjagaan apabila mereka berusia, sekali gus mengurangkan kos penjagaan dan beban fiskal kerajaan,” jelas beliau.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di Dewan Rakyat pada 31 Julai memaklumkan had umur persaraan wajib akan dikaji semula seiring peralihan Malaysia ke arah negara menua.

Kajian itu melibatkan pelbagai aspek termasuk implikasi kewangan serta kesan terhadap peluang pekerjaan yang perlu diteliti secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

Pada Mei lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said turut mencadangkan had umur persaraan wajib dinaikkan daripada 60 kepada 65 tahun, dengan alasan individu pada usia tersebut masih sihat dan mampu menyumbang secara produktif kepada tenaga kerja negara.

Ketika ini, umur persaraan wajib bagi penjawat awam adalah 60 tahun, yang juga merupakan umur persaraan minimum sektor swasta di bawah Akta Umur Persaraan Minimum 2012.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan