KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Geo Alam Environmental Sdn Bhd (Geo Alam), anak syarikat YTL Cement Group, telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Sinoma International Environment Engineering Co Ltd (SIEE) dan CBMI Construction Co Ltd (CBMI) bagi memperkenalkan penyelesaian pengurusan sisa maju di Malaysia.
Menurut kenyataan Geo Alam, kerjasama strategik ini bertujuan mengurangkan kebergantungan negara kepada tapak pelupusan sampah serta menyokong usaha dekarbonisasi dengan menukar sisa kepada bahan api alternatif untuk kegunaan industri.
Di bawah MoU ini, ketiga-tiga pihak akan bekerjasama dalam pembangunan, pelaburan dan pengoperasian fasiliti pengurusan sisa bersepadu di seluruh negara.
“Fasiliti ini akan memproses pelbagai jenis sisa, termasuk sisa perbandaran dan industri, bahan berbahaya, serta sisa pembinaan dan perobohan.
“Bergantung pada kesesuaian, hasil proses tersebut boleh digunakan sebagai bahan api alternatif atau bahan mentah alternatif untuk industri seperti pembuatan simen,” menurut kenyataan itu.
Geo Alam memaklumkan melalui penyediaan penyelesaian mampan yang bersepadu dan tempatan, kerjasama ini bertujuan membantu agensi kerajaan, pihak industri serta pengurus sisa pihak ketiga mencapai matlamat alam sekitar, mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan menyokong aspirasi ekonomi kitar semula negara.
Syarikat itu menjelaskan kerjasama ini menggabungkan kekuatan yang saling melengkapi, dengan Geo Alam menyumbang kepakaran tempatan dan pemahaman peraturan, manakala SIEE dan CBMI membawa pengalaman lebih enam dekad dalam teknologi alam sekitar dan simen.
“Secara kolektif, rakan-rakan strategik ini telah menguruskan lebih 10 juta tan sisa pepejal perbandaran, sisa komersial dan industri, serta bahan berbahaya menerusi pelbagai projek berskala besar di peringkat global, sekali gus membuktikan rekod prestasi operasi yang kukuh dan menyeluruh, melebihi sekadar penyelesaian teknologi,” katanya.
Pengarah Operasi Geo Alam, Clarisse Loh, berkata pertumbuhan tapak pelupusan sampah merupakan isu kritikal yang memerlukan tindakan segera dan usaha bersama, kerana sisa yang tidak diuruskan dengan baik boleh mengancam alam sekitar serta kesihatan awam.
“Perkongsian ini merupakan satu langkah bermakna ke hadapan. Dengan menggabungkan pengetahuan tempatan kami bersama kepakaran teknikal SIEE dan CBMI, kami berhasrat menyampaikan penyelesaian praktikal dan berskala untuk pengurusan sisa mampan di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden SIEE, Zhao Danhui, dalam kenyataan sama, menyatakan kegembiraan bekerjasama dengan Geo Alam dan CBMI bagi menyokong peralihan Malaysia ke arah pengurusan sisa mampan, dan menegaskan kerjasama ini mencerminkan komitmen mereka untuk menyampaikan teknologi alam sekitar maju dan terbukti yang disesuaikan dengan keperluan tempatan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Operasi CBMI Malaysia, Ma Jingwei, berkata sebagai penyedia EPC yang komited terhadap usaha dekarbonisasi melalui inovasi, pihaknya yakin kerjasama ini akan menghasilkan penyelesaian sisa-ke-bahan api dan sisa-ke-bahan yang praktikal dan berdaya tahan untuk masa depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial