KUANTAN, 5 Ogos (Bernama) -- Keprihatinan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberikan harapan baharu kepada sebuah keluarga di Kampung Cherok Paloh, di sini yang kehilangan rumah akibat kebakaran baru-baru ini.
Sultan Pahang pada hari ini turut berkenan meluangkan masa lebih 30 minit untuk melawat empat sekeluarga yang terlibat dalam insiden terbabit yang berlaku kira-kira 4 petang pada Ahad lepas.
Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa simpati dengan kejadian yang menimpa keluarga Mohd Khiri Amri Abdul Halim, 33, dan isteri Nurzalina Mohd Jusof, 30, bersama dua anak mereka berusia empat dan lapan tahun.
"Kita akan berikan bantuan seberapa yang boleh kepada Mohd Khiri Amri dan saya dimaklumkan isterinya akan melahirkan (cahaya mata ketiga) nanti. Kita akan usahakan dapat sebuah rumah baharu yang akan dibina di tapak yang sama dengan kebenaran tuan tanah yang juga datuk saudara mangsa.
"Tadi, YB (Yang Berhormat) (Ahli Dewan Undangan Negeri Inderapura Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif) menyatakan akan bantu untuk mencari sebuah enjin bot bagi membolehkan mangsa bekerja semula sebagai nelayan," titah baginda ketika mengadakan lawatan di lokasi kebakaran itu di sini.
Sementara itu, Mohd Khiri Amri bersyukur dengan kunjungan Sultan Pahang, dan menganggap sumbangan baginda sebagai sinar baharu kepada keluarganya.
"Tuanku titah akan bantu bina semula rumah ini selain nak bantu keperluan asas yang lain. Tuanku juga ingin bantu dapatkan enjin bot baharu kerana enjin bot saya yang disimpan di dalam rumah turut terbakar," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Khiri Amri berkata Al-Sultan Abdullah akan kembali melihat semula kediamannya sejurus rumah baharu itu siap dibina.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial