AM

RMK13 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Hijau, Pacu Sektor Utiliti Dan TBB

05/08/2025 10:12 PM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dijangka mempercepat peralihan daripada bahan api fossil kepada tenaga hijau dan lebih bersih, kata MBSB Investment Bank Bhd.

Dalam nota tinjauannya, bank pelaburan itu berkata usaha terbabit juga dijangka dapat meningkatkan sistem bekalan elektrik, tenaga solar, projek hidro dan sisa kepada tenaga selain meninjau potensi tenaga nuklear.

Menurutnya, ini sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara bagi mencapai sasaran campuran tenaga boleh baharu (TBB) masing-masing sebanyak 41 peratus dan 70 peratus menjelang 2035 dan 2050.

Sehubungan itu, MBSB Investment mengekalkan pendirian “positif” terhadap sektor utiliti dan subsektor TBB yang ), yang disokong oleh dasar struktur yang menggalakkan hala tuju penyahkarbonan lebih mendalam.

“Kami menganggap tenaga solar ini sebagai pemacu pertumbuhan berbilang tahun yang akan terus memberi manfaat kepada pemain kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) seperti Solarvest, Samaiden, Pekat, Sunview dan Northern Solar.

“Tenaga Nasional akan kekal sebagai penerima utama dalam segmen pemilikan aset, hasil daripada peluasan kapasiti TBB pelaburan bagi tujuan naik taraf grid,” katanya.

Selain itu, MBSB Investment M menyifatkan permintaan bagi cadangan (RFP) baru-baru ini untuk kapasiti penjanaan tenaga baharu berasaskan gas, turut menjadi pemangkin positif kepada sektor berkenaan.

Ini akan dilaksanakana menerusi dua kategori seperti lanjutan tempoh konsesi stesen janakuasa berasaskan gas sedia ada dengan tempoh perjanjian pembelian tenaga yang akan dan sudah tamat selain pembangunan stesen jana kuasa baharu yang dikuasakan oleh gas, katanya.

“RFP dijangka menambah kapasiti baharu kira-kira lapan gigawatt (GW). Kami menjangkakan pengeluar penjana tenaga bebas (IPP) seperti Malakoff dan YTL Power International akan menjadi antara kelompok utama bagi skim baharu itu,” katanya.

Menyentuh sistem bekalan tenaga, MBSB Investment berkata sistem penyimpanan tenaga bateri dijangka mula beroperasi secara komersial menjelang 2026.

Bank pelaburan itu turut mengunjurkan tenaga solar sebagai pemacu utama dalam usaha negara ini mencapai matlamat TBB.

Di samping Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (C-RES) dan mekanisme pengagregatan TBB komuniti, ia turut menjangkakan kerajaan akan meneruskan pelaksanaan program solar berskala besar (LSS) secara agresif, dimulakan dengan LSS PETRA 5+ pada separuh kedua 2025 yang diunjur memberi penambahan kapasiti solar sebanyak dua gigawatt (GW) lagi kepada campuran tenaga negara.

MBSB Investment berkata kontraktor EPCC serta firma mekanikal dan elektrikal akan menjadi antara penerima manfaat terawal daripada sambungan grid Sarawak ke Semenanjung Malaysia.

“Kami juga menganggap tenaga nuklear akan pilihan berkesan untuk Malaysia memperoleh kapasiti tenaga asas rendah karbon yang diyakini, sekali gus dapat menangani isu turun naik bekalan dan mengukuhkan keterjaminan tenaga.

“Bagaimanapun, ini memerlukan modal yang tinggi selain obligasi pengurusan sisa dan keselamatan yang rumit,” katanya.

Kerajaan juga, kata bank pelaburan itu, sedang meneliti teknologi baharu seperti reaktor modular kecil

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan