KANGAR, 5 Ogos (Bernama) -- Draf Pelan Bandar Pintar Negeri Perlis 2030 kini pada fasa akhir penyemakan dan penambahbaikan di peringkat jawatankuasa sebelum dijangka dilancarkan pada September depan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis hari ini diberitahu.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Penerangan dan Digital Perlis Asrul Aimran Abd Jalil berkata draf pelan bandar pintar itu terbahagi kepada tujuh komponen iaitu Smart Government, Smart Economy, Smart People, Smart Living, Smart Mobility, Smart Environment dan Smart Digital Infrastructure.
“Sebagai makluman, laporan draf akhir Pelan Bandar Pintar Negeri Perlis 2030 telah dibentangkan oleh Pengarah PLANMalaysia (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri) Perlis selaku wakil Pasukan Teras di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Draf Akhir Pelan Bandar Pintar Negeri Perlis 2030 yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis pada 15 Mei lepas,” katanya.
Beliau menjawab soalan Megat Hashirat Hassan (PN-Pauh) yang ingin tahu sejauh mana proses penyediaan Pelan Bandar Pintar telah dilaksanakan dan inisiatif yang bakal dinikmati rakyat pada Persidangan DUN Perlis di Kompleks Seri Putra di sini hari ini.
Asrul Aimran berkata Majlis Perbandaran Kangar (MPKangar) antara ahli Pasukan Teras dalam penyediaan pelan terbabit bersama-sama PLANMalaysia Perlis, Pejabat Projek Zon Utara, PLANMalaysia serta Bahagian Kerajaan Tempatan dan Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perlis.
“Draf Pelan Bandar Pintar Negeri Perlis 2030 dirangka untuk menentukan hala tuju, strategi dan tindakan bandar pintar yang perlu diambil menangani isu dan cabaran perbandaran yang dihadapi di Perlis melalui pengaplikasian teknologi termaju serta menyokong usaha pendigitalan perkhidmatan untuk rakyat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial