AM

Pelancong Asing Ke Negeri Sembilan Catat Kehadiran 0.46 Juta Tahun Lepas

05/08/2025 02:55 PM

SEREMBAN, 5 Ogos (Bernama) -- Negeri Sembilan mencatat peningkatan ketara dalam kemasukan pelancong antarabangsa pada tahun lepas, dengan kehadiran seramai 0.46 juta pengunjung berbanding 0.34 juta pada 2023.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Nicole Tan berkata berdasarkan data penginapan yang dikeluarkan oleh Tourism Malaysia, lonjakan sebanyak 35.1 peratus itu meletakkan Negeri Sembilan di kedudukan keenam daripada 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan.

"Ini menjadikan negeri ini antara destinasi pelancongan mendapat perhatian di Malaysia. Pelancong utama terdiri daripada warga Singapura, Indonesia, China, Thailand, dan Brunei dan India," katanya ketika menjawab soalan lisan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kepayang itu berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Mohamad Hanifah Abu Baker (PN-Labu) mengenai bilangan pelancong asing di negeri ini.

Nicole berkata melalui program Pesona Daerah masing-masing, beberapa lokasi menarik seperti Taman Tasik Seremban menerima kehadiran 109,379 pengunjung termasuk 2,901 pelancong asing. Taman Malaysia pula mencatat 13,607 pengunjung dengan 342 daripadanya pelancong asing, manakala X-Park Sendayan menarik perhatian dengan kehadiran 36,450 pengunjung termasuk 8,450 pelancong asing.

"Port Dickson terus menjadi tumpuan pelancong di negeri ini. Antara tarikan popular adalah Pusat Ikan Hiasan yang mencatat jumlah seramai 281,273 pengunjung termasuk 4,882 pelancong asing.

"Muzium Tentera Darat turut menarik perhatian dengan kehadiran 200,061 pengunjung termasuk 3,393 pelancong asing. Selain itu, PD Ostrich Farm menerima 43,800 pengunjung dengan 8,984 daripadanya merupakan pelancong asing, menjadikannya antara tarikan utama di daerah ini," katanya.

Nicole berkata daerah Jempol turut mencatat kehadiran pelancong menggalakkan di Bukit Taisho, Bahau dengan seramai 37,500 pendaki termasuk 2,500 pelancong asing.

Beliau berkata secara keseluruhan, jumlah kehadiran pelancong di negeri ini menunjukkan perkembangan positif dengan tarikan pelancongan yang merangkumi pelbagai segmen seperti eko pelancongan, warisan budaya dan gastronomi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan