JENAYAH & MAHKAMAH

Pasangan Suami Isteri Maut Dalam Kemalangan Di Segamat

04/08/2025 09:36 PM

SEGAMAT, 4 Ogos (Bernama) -- Pasangan suami isteri maut setelah kenderaan yang mereka naiki terbabas dan melanggar tiang elektrik di KM13 Jalan Segamat-Kuantan, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Segamat Supt Ahmad Zamry Marinsah berkata kemalangan itu membabitkan kereta jenis Ford Mustang yang dipandu lelaki tempatan yang dalam perjalanan menghala ke Segamat.

Beliau berkata setibanya di lokasi kejadian kereta itu hilang kawalan sebelum terbabas ke sebelah kiri jalan dan melanggar tiang elektrik, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dilakukan serta orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Segamat Pegawai Bomba Kanan (PBK) Abd Rahim Taufik berkata pihaknya menerima panggilan pada 1.46 tengah hari dan jentera Fire Rescue Tender (FRT) dengan enam anggota dikerah ke lokasi kejadian.

“Sejurus tiba di lokasi kejadian, pasukan keluaran operasi mendapati terdapat dua mangsa berada di dalam kereta dan bertindak mengeluarkan kesemua mangsa dengan menggunakan peralatan khas.

“Mangsa Mohd Izuddin Harmaini, 51, dan Nur Syamimi Rosli, 36, disahkan meninggal dunia,” katanya sambil menambah mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat pada 3.36 petang

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan