AM

Belanjawan 2026: Syiar Islam Diperkasakan Melalui Peruntukan RM2.6 Bilion - PM Anwar

10/10/2025 05:59 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Kerajaan memperkukuh syiar Islam secara menyeluruh melalui peruntukan RM2.6 bilion dalam Belanjawan 2026 bagi memartabatkan institusi pendidikan Islam, memperkasakan masjid serta memperluas kefahaman Islam berteraskan prinsip MADANI.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan komited memastikan syiar Islam terus tertegak dan dimartabatkan dalam pembangunan negara.

“Syiar Islam terus syumul dan tertegak di negara ini dengan peruntukan Belanjawan RM2.6 bilion,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri berkata sekolah pondok, tahfiz dan sekolah agama rakyat akan terus diberikan perhatian, termasuk penambahbaikan prasarana serta penggantian peralatan pengajian usang dengan peruntukan RM150 juta kepada institusi pondok berdaftar.

Bagi memperluas kebolehpasaran pelajar tahfiz, Anwar berkata 720 pelajar tahfiz akan dibekalkan latihan kemahiran profesional melalui GiatMARA.

Beliau berkata institusi masjid juga akan terus diimarahkan sebagai pusat komuniti, termasuk pengenalan Anugerah Masjid Malaysia, bagi mengiktiraf masjid cemerlang serta penganjuran Konvensyen Masjid sebagai wadah perkongsian ilmu antara imam, ulama, umara dan sarjana Islam.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga akan memperbanyak majlis ilmu bagi meningkatkan kefahaman umat MADANI terhadap Islam, termasuk penganjuran Majlis Sama’ Hadis 2026 bagi memberi peluang umat Islam menghayati hadis-hadis Rasulullah SAW yang diperdengarkan oleh para ulama.

Dalam pada itu, Anwar berkata usaha Malaysia melalui Yayasan Restu dan JAKIM mencetak satu juta naskhah al-Quran dalam 30 bahasa utama dunia, mendapat sambutan positif masyarakat antarabangsa, di samping pelaksanaan program MUSHAF MADANI dan pembangunan Kompleks Madinatul Quran di Putrajaya.

Beliau berkata sebagai galakan kepada ibadat Haji, kerajaan juga turut bersetuju meningkatkan had pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk tujuan Haji kepada RM10,000, berbanding RM3,000 sebelum ini.

Bagi penjawat awam pula, kemudahan pengeluaran awal Gantian Cuti Rehat (GCR) bagi tujuan menunaikan Haji diperluas dengan had penebusan sehingga RM10,000 melibatkan peruntukan RM10 juta.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan