KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Pengalaman membuat liputan berita jenayah dan mengikuti operasi polis telah mendorong seorang bekas wartawan untuk beralih kerjaya serta menyahut cabaran sebagai pegawai polis.
Inspektor Percubaan Nur Azmi Nordin, 26, berkata keputusan itu lahir daripada keinginan beliau untuk memainkan peranan yang lebih luas dalam usaha pencegahan jenayah di negara ini.
“Ketika menjadi wartawan, saya melihat ketekunan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Datuk Seri Ramli Yusof yang tidak pernah penat memberi nasihat kepada orang ramai.
"Ia membuka mata saya bahawa PDRM (Polis Diraja Malaysia) memainkan peranan yang sangat penting,” katanya kepada pemberita selepas Istiadat Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan Inspektor di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini hari ini.
Nur Azmi, yang pernah berkhidmat di akhbar Kosmo lebih dua tahun, turut melahirkan hasrat untuk berkhidmat sebagai pegawai penyiasat jenayah di ibu negara walaupun menyedari cabaran tugas berkenaan.
Istiadat tamat latihan itu, yang disempurnakan oleh Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, menyaksikan seramai 345 Inspektor Percubaan berjaya menamatkan program latihan asas kepolisan selama sembilan bulan di PULAPOL.
Bagi Mahirah Alias, 40, tanggungjawab sebagai isteri dan ibu kepada empat cahaya mata tidak menghalang beliau daripada dinobatkan sebagai pelatih terbaik.
Anak kelahiran Lenggong, Perak itu berkata kejayaan itu didorong oleh sokongan padu suaminya yang juga seorang anggota polis, dan keluarga yang menjadi tulang belakang sepanjang sembilan bulan beliau berkursus.
“Sebagai seorang isteri dan ibu dalam bidang yang didominasi lelaki, ia bukan mudah... banyak cabaran yang perlu dihadapi tetapi saya percaya komunikasi adalah kunci untuk mengharungi segalanya, baik bersama keluarga mahupun pasukan,” katanya.
Mahirah, yang sudah berkhidmat selama 18 tahun dalam PDRM, berkata beliau membuat permohonan Kenaikan Pangkat Secara Lantikan selepas menamatkan pengajian di Universiti Sains Malaysia pada 2022.
Terdahulu, dalam ucapannya, Mohd Khalid berkata warga PDRM perlu menguasai ilmu dan kemahiran mengadaptasi teknologi moden khususnya kecerdasan buatan (AI) bagi mendepani ancaman jenayah yang semakin berevolusi.
Beliau berkata penguasaan AI membolehkan PDRM melangkaui potensi ancaman, melaksanakan usaha pencegahan dan memperkukuh benteng keselamatan demi kesejahteraan masyarakat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial