PUTRAJAYA, 10 Okt (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berharap Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan petang ini memberikan perhatian khusus terhadap peruntukan bagi kerja penyelenggaraan balai bomba serta kuarters anggota yang dalam keadaan uzur dan memerlukan pembaikan segera.
Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata pihaknya mengemukakan permohonan rasmi kepada Kementerian Kewangan agar peruntukan besar disediakan dalam belanjawan itu bagi memastikan fasiliti bomba sentiasa dalam keadaan terbaik demi menjamin kelancaran operasi menyelamat.
“Kita ada dua inisiatif utama yang kita utarakan. Pertamanya, saya memohon kepada Kementerian Kewangan satu peruntukan untuk penyelenggaraan balai kita dan juga kuarters-kuarters kita yang uzur. Maksudnya, kita perlu peruntukan yang besar untuk kita melaksanakan kerja yang saya nyatakan tadi,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan bagi bulan September di sini hari ini.
Selain keperluan penyelenggaraan, JBPM turut memohon agar diberi peruntukan tambahan untuk memperkukuh pengurusan pasukan Bomba Sukarela, khususnya dalam usaha mencapai sasaran penubuhan 500 unit pasukan di seluruh negara seperti yang digariskan dalam Dasar Kebombaan dan Penyelamatan Negara 2021.
Nor Hisham turut memohon agar pakej perlindungan menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dapat diteruskan bagi anggota Bomba Sukarela dan pasukan Bomba Bantuan sebagai jaminan keselamatan ketika menjalankan tugas rasmi.
Beliau berkata terdapat 8,900 anggota Bomba Sukarela dan 2,280 Bomba Bantuan yang tertakluk di bawah kawalan JBPM.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan akan membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada 4 petang ini.
Belanjawan ini menandakan pembentangan kali keempat oleh Kerajaan MADANI pimpinan Anwar dan yang pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 sekali gus menjadi asas utama bagi pelaksanaan pelan pembangunan negara untuk tempoh lima tahun akan datang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial