JENAYAH & MAHKAMAH

PGA Rampas Suplemen Tidak Berdaftar Bernilai Lebih RM1.4 Juta

09/10/2025 10:52 PM

IPOH, 9 Okt (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas suplemen tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM) yang dimuatkan dalam dua lori, dianggarkan bernilai keseluruhan RM1.42 juta.

Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta SAC Shahrum Hashim dalam kenyataan berkata rampasan itu dilakukan dalam satu operasi penguatkuasaan produk kosmetik atau suplemen di kawasan rehat dan rawat Sungai Perak arah selatan, kira-kira 46 kilometer dari sini. 

Beliau berkata hasil risikan mendapati produk berkenaan dipercayai dikeluarkan daripada sebuah kilang di Jitra, Kedah untuk diedarkan ke sebuah syarikat di Selangor. 

“Tangkapan dan rampasan dijalankan setelah pemeriksaan mendapati produk kosmetik atau suplemen ini tidak memiliki pelekat hologram serta tiada nombor pendaftaran produk Kementerian Kesihatan,” katanya.

Shahrum berkata dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an ditahan dan sebanyak 5,000 botol produk suplemen minuman pemutih kulit bernilai RM1.1 juta, 1,008 botol tablet vitamin C bernilai RM100,800 dan dua lori (RM220,000) dirampas.

“Produk kosmetik dan lori dirampas serta diserahkan kepada Penguatkuasa Farmasi Negeri Perak manakala kedua-dua pemandu ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Beliau berkata PGA Briged Utara komited untuk terus mempergiat usaha mengekang aktiviti mengilang, menjual, membekal, mengimport, memiliki atau memberikan ubat-ubatan yang tidak berdaftar selain meningkatkan pengawasan serta rondaan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan