AM

SIRIM Buka Makmal EtO, RF Di Pulau Pinang, Bantu PKS Penuhi Piawaian Global

09/10/2025 05:53 PM

BUKIT MERTAJAM, 9 Okt (Bernama) -- SIRIM Berhad terus memperkukuh peranannya dalam pembangunan industri tempatan dengan penubuhan dua makmal baharu di Pulau Pinang iaitu Makmal Pensterilan Etilena Oksida (EtO) dan Makmal Frekuensi Radio (RF) yang mula beroperasi awal tahun ini.

Ketua Pegawai Pemasaran SIRIM Berhad Mohd Faisal Abdul Shukor berkata dua makmal berkenaan mencerminkan komitmen SIRIM dalam memperkasakan perusahan kecil dan sederhana (PKS) dengan mengurangkan beban operasi serta membantu mereka memenuhi piawaian antarabangsa yang ketat.

Beliau berkata makmal EtO direka secara strategik bagi memenuhi keperluan penting dalam sektor peranti perubatan dengan menyediakan penyelesaian pensterilan berkos rendah untuk produk berjumlah kecil dengan kecekapan lebih tinggi dan kitaran lebih sedikit.

"Makmal yang dilengkapi dengan enam ruang Euro pallet chambers itu bukan sekadar makmal biasa, sebaliknya berperanan sebagai pusat sehenti bagi PKS memperoleh peralatan perubatan, menguji produk serta melanggan perkhidmatan pensijilan dan pemeriksaan yang ditawarkan.

"Perkhidmatan ini sudah tersedia dan kami tawarkan dengan kos yang lebih berpatutan dan pelanggan boleh datang terus untuk mendapatkan perkhidmatan pengujian produk termasuk pensijilan SIRIM," katanya kepada pemberita pada Majlis SIRIM Silaturasa 2025 sempena Ulang Tahun ke-50 SIRIM Berhad di pejabatnya di sini hari ini.

Pada majlis yang dirasmikan Pengerusi Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Luar Bandar negeri Datuk Rashidi Zinol itu, media turut diberi peluang melawat kemudahan makmal baharu tersebut.

Mengulas lanjut, Mohd Faisal berkata makmal berkenaan berperanan menyediakan perkhidmatan penting dan mampu milik kepada syarikat tempatan bagi memenuhi permintaan global serta menjadikan inovasi lebih selamat serta pertumbuhan lebih pantas untuk perniagaan dan ekonomi.

Beliau berkata makmal EtO adalah untuk mensterilkan peralatan perubatan khususnya yang tidak tahan suhu tinggi manakala makmal RF menjalankan penyelidikan dan pembangunan, ujian dan pengesahan produk yang menggunakan gelombang radio.

Sementara itu, beliau menasihati pengguna agar sentiasa memastikan barangan terutama produk elektrik dan elektronik yang dibeli dalam talian mempunyai label dan tanda pengesahan keselamatan SIRIM bagi menjamin keselamatan pengguna.

Beliau berkata trend pembelian secara dalam talian semakin meningkat khususnya dari luar negara namun ada yang tidak melalui proses pengujian SIRIM sekali gus menimbulkan risiko keselamatan.

"Banyak produk (dalam talian) tidak melalui pengujian fizikal yang wajib dilakukan dan di sinilah peranan SIRIM yang sentiasa mengingatkan pengguna agar membeli produk memiliki label tersebut yang memberi jaminan kepada pengguna bahawa ia selamat untuk digunakan.

"Walaupun sesetengah produk dari luar negara telah diuji mengikut piawaian mereka (negara asal) tetapi ia masih perlu menjalani proses pengujian dan pensijilan tempatan untuk dipasarkan di Malaysia," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan