AM

Nuklear Malaysia Perkasa Usaha Hapus Stigma Terhadap Teknologi Nuklear

09/10/2025 12:04 PM

Oleh Thivyamalini Ramalu

BANGI, 9 Okt (Bernama) -- Teknologi nuklear di Malaysia perlu dimajukan bukan sahaja dari sudut teknikal, tetapi juga dari segi penerimaan serta kefahaman masyarakat terhadap manfaatnya, agar ia dapat memberi impak positif kepada negara dalam pelbagai aspek termasuk sosial, ekonomi dan alam sekitar.

Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) Dr Muhammad Rawi Mohamed Zin berkata, hala tuju agensi itu adalah memastikan teknologi nuklear terus berkembang dan memberi manfaat nyata kepada rakyat.

“Hala tuju kami adalah memastikan teknologi nuklear ini terus berkembang serta memberi manfaat kepada rakyat. Harapan kami agar masyarakat dapat merasai kehadiran teknologi ini, walaupun tanpa mereka sedari,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata berbeza dengan teknologi lain seperti kecerdasan buatan (AI), Internet Kebendaan (IoT) atau kenderaan elektrik (EV) yang cepat diterima masyarakat, teknologi nuklear masih berdepan cabaran dari segi persepsi awam.

“Kalau kita lihat AI atau IoT, semua orang tahu dan terkesan dengan kegunaannya. Tetapi mengapa teknologi nuklear belum sampai ke tahap itu? Mengapa teknologi lain boleh cepat diterima, tetapi nuklear tidak?” katanya.

Beliau berkata, stigma terhadap teknologi nuklear sering berpunca daripada kaitan sejarah seperti insiden Hiroshima dan Fukushima, walaupun hakikatnya teknologi berkenaan kini jauh lebih selamat dan digunakan secara meluas dalam pelbagai sektor.

“Masyarakat Jepun telah menikmati manfaat teknologi ini walaupun sejarah menunjukkan negara itu antara yang paling terkesan dengan letupan nuklear. Namun mereka tidak meninggalkan teknologi ini, malah terus maju bersama pembangunan teknologi lain,” katanya.

Beliau menjelaskan cabaran utama pembangunan tenaga nuklear di Malaysia boleh dibahagikan kepada dua kategori, iaitu cabaran umum yang melibatkan kos pembinaan loji tenaga nuklear yang mencecah berpuluh bilion ringgit serta tempoh pembangunan yang panjang, dan cabaran khusus melibatkan penerimaan masyarakat.

Katanya, bagi menangani cabaran persepsi, satu pasukan khas telah ditubuhkan untuk melaksanakan program jangkauan luar secara sistematik bagi mendengar pandangan dan kebimbangan rakyat, di samping memberi penjelasan tentang manfaat teknologi nuklear.

“Pembangunan tenaga nuklear juga memerlukan tenaga kerja tempatan yang mencukupi dalam kalangan profesional dan pemain industri,” katanya.

"Selain dikenal pasti dan dilatih lebih awal, industri berkaitan juga perlu dibangunkan sebagai ekosistem menyeluruh yang selari dengan kemajuan program tenaga nuklear negara," katanya.

Sebelum ini, kerajaan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah diberi mandat untuk membangunkan kerangka undang-undang serta peraturan berkaitan pelaksanaan tenaga nuklear di negara ini.

Malaysia turut terikat dengan beberapa perjanjian antarabangsa seperti Treaty on the Non-Proliferation of Nuclear Weapons (NPT) dan Comprehensive Nuclear-Test-Ban Treaty (CTBT).

“Sebarang ujian letupan, atau sekiranya ada letupan nuklear berlaku di luar negara, Stesen RN (Radionuklid) 42 di Cameron Highlands milik CTBT dan Nuklear Malaysia akan mengesan kejadian tersebut dengan segera.

"Setiap penggunaan teknologi nuklear yang dijalankan di Malaysia perlu mematuhi akta dan prosedur keselamatan yang ketat,” katanya.

Muhammad Rawi memberi contoh penggunaan bahan radioisotop dalam bidang perubatan yang telah membantu merawat ribuan pesakit kanser setiap tahun, serta penggunaan tolok nuklear dalam industri minyak dan gas yang dikendalikan hanya oleh pengendali berlesen.

“Walaupun melibatkan sinaran, semua aplikasi ini dikendalikan oleh pakar terlatih dalam persekitaran terkawal. Inilah bukti bahawa teknologi nuklear boleh digunakan secara selamat dan memberi manfaat besar kepada masyarakat,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan