AM

Kapal Tangki Ditahan Bersauh Tanpa Kebenaran

08/10/2025 10:15 PM

GEORGE TOWN, 8 Okt (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah kapal tangki yang bersauh tanpa kebenaran pada kedudukan 14.3 batu nautika dari barat laut Muka Head, di sini semalam.

Pengarahnya Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata bot peronda APMM Pulau Pinang yang sedang menjalankan rondaan telah menjalankan pemeriksaan terhadap kapal tangki itu pada 11.30 malam semalam.

"Pemeriksaan mendapati kapal tangki yang membawa muatan minyak gasolin itu dikendalikan oleh 20 kru warga asing dan kesemua mereka memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Namun, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kapal itu tidak memiliki kebenaran bersauh daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia seperti dikehendaki di bawah undang-undang,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata semasa pemeriksaan dan penggeledahan menyeluruh, nakhoda kapal tangki yang berasal daripada Panama sukar memberikan kerjasama terhadap pasukan penguat kuasa, dengan tidak memberikan dokumen penting berkaitan kapal berkenaan.

Muhammad Suffi berkata terdapat juga dalam kalangan kru enggan membenarkan penguat kuasa untuk turun ke bot peronda selepas selesai pemeriksaan.

Namun, beliau berkata hasil rundingan dan penjelasan, kru penguat kuasa dibenarkan untuk turun semula ke bot peronda APMM Pulau Pinang.

"Kapal tangki itu ditahan untuk siasatan lanjut kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 491B(1) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan kesemua kru ditahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan