DUNIA

Google Luas Kapasiti Mod AI, Tambah Bahasa Arab Dalam Ciri Carian

08/10/2025 07:40 PM

WASHINGTON, 8 Okt (Bernama-QNA) -- Google mengumumkan peluasan pengalaman carian mod kecerdasan buatan (AI) kepada lebih 35 bahasa baharu termasuk Bahasa Arab, sekali gus memperluas ketersediaan ciri itu ke lebih 200 negara dan wilayah di seluruh dunia, menurut Agensi Berita Qatar (QNA).

Syarikat itu berkata kemas kini berkenaan dikuasakan oleh model Gemini AI terbaharu, yang menawarkan kefahaman bahasa semula jadi lebih maju serta keupayaan mengendalikan kandungan multimedia yang dipertingkat.

Google menjelaskan bahawa keupayaan pemikiran dan pelbagai modus Gemini membolehkan enjin carian memberikan hasil yang lebih tepat serta relevan mengikut konteks budaya dan bahasa setiap rantau.

Mod AI direka untuk membantu pengguna menangani soalan penerokaan dan tugasan kompleks, dengan menawarkan interaksi carian yang lebih dinamik serta bersifat perbualan.

Menurut Google, pengguna yang menggunakan Mod AI kini cenderung mengemukakan soalan hampir tiga kali lebih panjang berbanding carian tradisional, menunjukkan peralihan ke arah penerokaan yang lebih mendalam dan analitis.

Syarikat itu turut memperkenalkan teknologi asas baharu yang dikenali sebagai ‘Pengembangan Pertanyaan’ (Query Expansion), yang berfungsi memecahkan soalan pengguna kepada beberapa topik kecil dan melaksanakan pelbagai carian serentak - membolehkan pengguna meneroka maklumat yang lebih luas berbanding carian biasa.

Google mula memperkenalkan Mod AI di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara dalam Bahasa Inggeris pada Ogos lepas.

Penambahan Bahasa Arab menandakan langkah penting ke arah penyediaan hasil carian yang lebih tepat, relevan dari segi budaya dan tepat dari segi linguistik bagi pengguna berbahasa Arab di pelbagai bidang.

-- BERNAMA-QNA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan