EKONOMI

Dana Asing Kembali Menjadi Pembeli Bersih Pada September, Mengakhiri Aliran Keluar Tiga Bulan - Kenanga IB

08/10/2025 07:19 PM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Pelabur asing kembali menjadi pembeli bersih ekuiti Malaysia pada September 2025, mengakhiri jualan berturut-turut selama tiga bulan dengan RM100 juta dalam aliran masuk berbanding aliran keluar sebanyak RM3.4 bilion yang dicatatkan pada Ogos 2025.

Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) berkata pembelian itu diterajui oleh sektor pembinaan dan pengangkutan, yang disokong oleh keyakinan di sekitar Rancangan Malaysia ke-13, hubungan China yang lebih baik dan jangkaan pemotongan kadar Amerika Syarikat (AS).

"Ketegangan geopolitik yang berterusan, bagaimanapun, mengehadkan momentum kenaikan," katanya melalui satu nota hari ini.

Kenangan IB ketika mengulas mengenai pergerakan pasaran bon berkata pelabur asing membalikkan aliran masuk Ogos, menjadi penjual bersih pada September dengan jumlah aliran keluar sebanyak RM6.8 bilion berbanding dengan aliran masuk RM3 bilion yang dicatatkan pada bulan sebelumnya, disebabkan oleh pelupusan pelaburan pasaran hutang.

"Aliran keluar September adalah aliran keluar bulanan terbesar dalam 11 bulan," katanya, sambil menambah bahawa pelupusan pelaburan itu mencerminkan pendedahan yang dikurangkan kepada hutang kerajaan yang lama di tengah-tengah ketidakpastian global yang semakin meningkat.

Kenanga IB ketika mengulas mengenai Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) berkata bon jangka panjang mengalami aliran keluar berjumlah RM3.7 bilion pada September 2025 berbanding aliran masuk RM2.8 bilion yang disaksikan semasa bulan sebelum ini.

"Disebalik aliran keluar, pegangan asing (dalam MGS) menokok kepada 33.7 peratus pada September 2025 daripada 33.4 peratus pada Ogos 2025 disebabkan oleh bekalan yang lebih rendah," katanya.

Kenanga IB berkata Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) mencatatkan aliran keluar sebanyak RM2.7 bilion pada September 2025 berbanding aliran masuk RM500 juta pada Ogos 2025, manakala bon korporat menyaksikan aliran keluar RM500 juta daripada RM200 juta pada bulan sebelumnya.

Mengenai prospek pasaran hutang tempatan, bank pelaburan itu menyatakan bahawa aliran masuk jangka pendek dijangka tetap diredam berikutan ketidakpastian global yang semakin mendalam; bagaimanapun, ketahanan makroekonomi Malaysia menawarkan penampan.

"Permintaan domestik yang berdaya tahan, pendirian fiskal yang boleh dipercayai, pengesahan semula penarafan kedaulatan Malaysia oleh S&P dengan unjuran yang stabil serta keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) telah mengukuhkan keyakinan pelaburan dan kestabilan dasar.

"Belanjawan 2026 yang akan datang (dibentangkan pada 10 Oktober) turut memberikan rangsangan jangka pendek kepada sentimen pelabur," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan