KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor yang gagal melaksanakan projek pembangunan mengikut jadual termasuk menamatkan kontrak mereka.
Menteri berkenaan Fadhlina Sidek berkata pengeluaran notis tujuan penamatan dan penamatan kontrak antara langkah terakhir yang diambil terhadap perunding atau kontraktor yang gagal menunaikan obligasi mereka.
Beliau berkata tindakan itu susulan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025 mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2024 yang mendapati sebanyak 46 projek pembangunan di bawah KPM pada 2024 berstatus lewat jadual atau sakit, iaitu 23 peratus daripada 2,040 projek di bawah Rolling Plan IV Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).
“Antara faktor yang menyebabkan kelewatan dalam pelaksanaan projek dan projek sakit termasuklah kelemahan kontraktor menguruskan pelaksanaan projek dan kewangan, logistik, kelewatan kelulusan penyambungan pengalihan dan pemasangan utiliti.
“Selain itu, perkara luar jangka seperti cuaca tidak menentu, bencana alam, pandemik dan kenaikan harga bahan mentah,” katanya ketika menggulung perbahasan usul LKAN 3/2025 mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.
Justeru, Fadhlina berkata KPM mengambil pelbagai pendekatan pengurusan termasuk pemantauan rapi di tapak projek, sesi libat urus berkala bersama kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan penyedia utiliti serta agensi pusat seperti Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).
“Ingin saya jelaskan pengurusan projek sakit melibatkan pelaksanaan intervensi yang bersasar, sesi libat urus dan perbincangan bersama pihak berkepentingan serta kelulusan berkaitan perubahan kerja dan pelanjutan masa,” katanya.
Setakat 1 Okt lepas, beliau berkata 17 daripada 46 projek lewat yang dilaporkan berjaya disiapkan, namun 10 projek masih kekal lewat jadual, manakala baki 19 lagi berada dalam pelbagai status pelaksanaan, termasuk lima projek yang memerlukan proses tender semula.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan dalam sesi penggulungan perbahasan usul LKAN 3/2025 bagi Kementerian Kerja Raya (KKR) berkata sebanyak 66 projek pembinaan fizikal yang sedang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dikenal pasti sebagai projek sakit setakat 8 Sept lepas.
Beliau berkata antara faktor utama yang dikenal pasti menyumbang kepada kelewatan termasuk kelemahan pengurusan kontraktor, masalah aliran kewangan, isu pengambilan balik tanah, kelewatan pengalihan utiliti serta perubahan skop oleh kementerian pelanggan.
Justeru, beberapa tindakan telah dan akan diambil terhadap kontraktor bermasalah termasuk pengeluaran surat amaran, pelaksanaan ganti rugi tertentu dan ditetapkan (LAD) dan penamatan kontrak.
“Penamatan akan dilaksanakan sekiranya projek telah sakit dan tidak berdaya maju. Maka, kontraktor yang ditamatkan akan digantung selama dua tahun, iaitu tidak dibenar menyertai sebarang kontrak kerajaan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial