KUALA NERUS, 8 Okt (Bernama) -- Pemberian dana kerajaan melalui program Sejahtera Komuniti MADANI@KPT (SejaTi MADANI@KPT) membantu ahli kariah Surau At-Taqwa, Kubang Badak, di sini menjana pendapatan sendiri.
Pengerusi Surau At-Taqwa Ismail Ibrahim, 51, berkata dana sebanyak RM50,000 yang disalurkan oleh Kerajaan MADANI melalui Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dimanfaatkan sepenuhnya bagi memulakan projek ternakan ikan keli di dalam kawasan surau.
Beliau berkata projek yang bermula 1 Julai tahun lepas itu disertai 12 orang yang terdiri daripada warga emas serta ibu tunggal yang tidak memiliki pendapatan tetap.
"Setakat ini kita mempunyai 10 tangki ikan yang setiap satu mampu menampung kira-kira 5,000 anak benih ikan keli.
"Semua kerja daripada pembelian benih hingga kewangan diuruskan oleh peserta yang terdiri daripada ahli kariah dengan bimbingan pensyarah dan pakar UMT," katanya ketika ditemui di surau berkenaan di sini.
Ismail yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kubang Badak berkata setakat ini program berkenaan telah berjaya menjana hasil kira-kira RM2,000 sebulan yang diagihkan kepada peserta dan tabungan surau.
Beliau berkata walaupun hasilnya dianggap kecil, ia sedikit sebanyak tetap dapat membantu menampung perbelanjaan dapur para peserta yang terdiri daripada golongan B40.
"Kerajaan perlu memperbanyakkan program sebegini kerana ia memberi peluang kepada komuniti setempat menjana pendapatan sendiri, sekali gus meringankan beban kewangan dalam keadaan kos sara hidup semakin tinggi.
"Wang hasil jualan keli ini juga kita masukkan ke tabung surau untuk laksanakan program seperti ceramah, kuliah agama, kenduri tahlil, jamuan makan dan sebagainya. Kita mahu pastikan orang kampung turut merasai faedahnya," katanya.
Ismail berkata tanaman timun turut diusahakan di sekitar kawasan surau untuk menjana pendapatan tambahan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial