Oleh Anis Nabilla Md Wazilah
KUANTAN, 8 Okt (Bernama) -- Sorakan gembira dan senyuman yang terpancar di wajah sekumpulan murid berkeperluan khas Sekolah Kebangsaan (SK) Cenderawasih di sini cukup menyentuh hati apabila impian mereka untuk menaiki kapal terbang menjadi kenyataan.
Usaha murni itu direalisasikan guru Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang mahu memberikan pengalaman sebenar menaiki pesawat kepada murid istimewa yang terdiri daripada mereka menghidap autisme, masalah pembelajaran, sindrom down dan sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD).
Guru penyelaras Asmah Omar berkata idea berkenaan tercetus tahun lepas, ketika sesi pembelajaran bertemakan pengangkutan, setelah beliau mendapati kebanyakan anak muridnya itu belum pernah menaiki kapal terbang.
“Sebagai guru, saya mahu mereka bukan sekadar belajar melalui gambar atau video, tetapi merasai sendiri pengalaman menaiki kapal terbang, bermula dari urusan daftar masuk, pemeriksaan keselamatan hingga duduk di dalam pesawat. Ia satu pengalaman bermakna untuk mereka,” katanya ketika ditemui Bernama di Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.
Asmah yang berpengalaman lebih 10 tahun mendidik murid berkeperluan khas berkata sebelum penerbangan sebenar, pihaknya mengadakan simulasi menaiki pesawat bagi membiasakan mereka dengan situasi sebenar.
"Kami juga melaksanakan simulasi menaiki pesawat bersama murid supaya ada sikit pendedahan. Mereka juga teruja dengan menghitung hari serta sering bertanya bila boleh menaiki kapal terbang.
"Tetapi, yang menyentuh hati saya ialah ada ibu bapa dalam golongan Orang Kurang Upaya (OKU) menjadi antara terawal mendaftar program ini kerana tidak mahu anak mereka terlepas peluang," katanya.
Program berkenaan disertai 30 murid PPKI, 14 guru pengiring dan 13 ibu bapa yang berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah di sini pada 10.50 pagi tadi, sebelum tiba kira-kira 40 minit kemudian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Kanak-kanak berkenaan kemudiannya dijadual melawat Aquaria KLCC dan rombongan juga dibawa menaiki Cruise Tasik Putrajaya serta melawat kedai coklat esok, sebelum bertolak balik ke Kuantan menaiki pesawat pada 6.50 petang.
Asmah yang bakal bersara bulan depan selepas 36 tahun menabur bakti dalam bidang pendidikan, menarik nafas lega apabila hasrat untuk menjayakan program itu menjadi kenyataan selain berharap pengalaman menaiki pesawat akan menjadi kenangan manis yang terpahat dalam ingatan anak-anak istimewa kesayangannya itu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak yang membantu merealisasikan program berkenaan antaranya kerajaan negeri, syarikat korporat, individu dan ibu bapa.
Sementara itu, Siti Roshidah Alwi, 39, berkata anaknya Muhammad Faris Faiz Mohd Fahmi, 10, yang merupakan kanak-kanak autistik dan ADHD, bangun seawal 5 pagi hari ini kerana teruja serta tidak sabar untuk bersama rakannya menaiki kapal terbang.
"Sebagai ibu, saya mahu dia tahu bahawa dunia ini luas dan penuh dengan peluang untuk diteroka. Pengalaman menaiki kapal terbang ini mungkin nampak kecil bagi sesetengah orang, tetapi bagi anak istimewa sepertinya, ia adalah langkah besar dalam mengenal dunia luar," katanya yang mengambil cuti daripada bertugas untuk menemani anaknya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial