AM

Peranan Pusat Geospatial Negara Perlu Diperluas - Johari

08/10/2025 02:04 PM

PUTRAJAYA, 8 Okt (Bernama) -- Peranan Pusat Geospatial Negara (PGN) dalam menyelaras dan mengumpulkan data berdasarkan lokasi perlu diperluas bagi memastikan setiap keputusan pembangunan dan dasar negara berpaksikan maklumat yang tepat.

Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata data geospatial memainkan peranan penting dalam pelbagai aspek pembangunan termasuk keselamatan, logistik, perumahan dan perancangan infrastruktur.

“Data-data yang kita simpan ini sebenarnya boleh membantu pada semua kegiatan ekonomi, pengurusan negara dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Maklumat Geospatial Kebangsaan (NGIS) ke-10 di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Johari berkata penyelarasan data geospatial oleh PGN berupaya memacu kecekapan ekonomi negara dengan membantu kerajaan, pelabur dan sektor industri membuat keputusan lebih tepat sekali gus mengurangkan risiko serta kos pentadbiran.

"Jika tidak ada pihak yang koordinasi data-data ini, maka akhirnya kerajaan akan membelanjakan banyak wang dan usaha untuk data yang berulang," katanya, sambil menekankan kepentingan Infrastruktur Data Geospatial Negara (MyGDI) yang dibangunkan oleh PGN sebagai platform utama perkongsian data lokasi secara sistematik dan pantas.

Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata MyGDI membolehkan agensi kerajaan berkongsi data geospatial dengan lebih cekap, mengelakkan pertindihan perolehan data dan mengurangkan kos operasi.

“Dengan peta asas dan data seragam, perancangan pembangunan akan jadi lebih tersusun dan efisien,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan