AM

Misi GSF Tidak Masuk Israel Secara Haram, Sebaliknya Bawa Bantuan Kemanusiaan Ke Gaza - Mohamad

08/10/2025 01:28 AM

SEPANG, 7 Okt (Bernama) -- Semua 23 sukarelawan Malaysia yang ditahan rejim Zionis bukan kerana memasuki Israel secara haram, sebaliknya dikepung di perairan antarabangsa ketika dalam perjalanan menjalankan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), untuk menghantar bantuan ke Gaza.

Sehubungan dengan itu, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan meminta orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan sentimen dan tuduhan tidak berasas tersebut.

“Mereka tak pergi ke Israel, mereka nak pergi ke Gaza tetapi dikepung tentera rejim zionis dan ditahan. Jadi, jangan dengar cakap-cakap orang,” katanya dalam sidang media selepas menyambut ketibaan kumpulan 23 sukarelawan Malaysia di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam ini.

Mohamad turut menyifatkan kepulangan selamat sukarelawan tersebut sebagai kejayaan besar diplomasi Malaysia, yang sekali gus melambangkan solidariti antarabangsa, selain menjadi detik kelegaan dan kebanggaan nasional.

“Kita amat bersyukur kepada Allah atas kepulangan selamat rakyat kita ke tanah air malam ini. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas usaha diplomasi berterusan yang dilaksanakan pada peringkat tertinggi, dengan sokongan kepimpinan negara sahabat seperti Turkiye, Mesir dan Jordan,” katanya.

Mohamad berkata kerajaan Turkiye memainkan peranan penting dalam memudah cara pembebasan sukarelawan Malaysia yang ditahan secara tidak sah di Israel, selepas kapal mereka dipintas di perairan antarabangsa pada 2 Okt.

“Alhamdulillah, rakyat kita telah pun selamat pulang. Kita juga mengucapkan terima kasih kepada Duta Besar Turkiye ke Malaysia (Emir Salim Yuksel) dan semua pihak yang membantu menjayakan misi ini,” katanya.

Terdahulu, Terminal 1 KLIA diselubungi suasana penuh emosi apabila seramai 27 sukarelawan Malaysia, termasuk empat orang dari kapal pemerhati serta lima peguam, selamat tiba di tanah air setelah menyertai misi kemanusiaan GSF ke Gaza.

Suasana dipenuhi rasa bangga, syukur dan kelegaan apabila ahli keluarga serta pendukung Palestin memakai keffiyeh dan mengibarkan bendera Palestin, memenuhi ruang ketibaan bagi menyambut para sukarelawan yang tiba sekitar 10.07 malam tadi.

Kepulangan mereka menandakan berakhirnya satu perjalanan getir yang bermula apabila flotila bantuan itu dipintas tentera Israel di zon merah perairan Laut Mediterranean pada 2 Okt, sebelum mereka dibawa secara paksa ke Pelabuhan Ashdod, Israel.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan