Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Kerajaan digesa memperuntukkan dana bagi membangunkan dan menaik taraf kemudahan penerimaan pelabuhan (PRF) untuk meningkatkan pematuhan alam sekitar di bawah Belanjawan 2026, kata Hexagon Synergy Group.
Ketua Pembangunan Lestari dan Perancangan Strategiknya Dr Nur Zulaikha Yusof berkata inisiatif sebegini akan membantu Malaysia mengukuhkan pematuhan terhadap konvensyen sisa maritim antarabangsa.
Katanya, konvensyen yang dimaksudkan seperti Konvensyen Antarabangsa untuk Pencegahan Pencemaran dari Kapal (MARPOL) yang turut menyokong daya saing industri.
“Ini bermaksud memperluaskan jumlah dan kapasiti kemudahan penerimaan di pelabuhan supaya pelabuhan dan terminal dapat menerima sisa minyak, sampah, kumbahan serta sisa MARPOL lain tanpa sebarang kelewatan.
“Dengan memenuhi piawaian kesesuaian MARPOL, Malaysia dapat mengelakkan pelanggaran undang-undang dan melindungi perairannya. Sokongan belanjawan amat penting di sini kerana banyak pelabuhan mungkin tidak dapat melabur dalam kemudahan penerimaan pelabuhan yang mahal ini secara sendiri,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, geran kerajaan atau pembiayaan bersama untuk PRF akan meningkatkan pematuhan secara langsung dan juga memberi isyarat kepada barisan kapal antarabangsa iaitu pelabuhan Malaysia bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
“Ini meningkatkan daya saing kerana syarikat penghantar barangan semakin memilih pelabuhan yang membantu mereka memenuhi keperluan hijau global dan mengelakkan denda,” tambahnya.
Subsidi dan Pembaharuan Yuran
Zulaikha juga berpendapat iaitu kerajaan boleh memperkenalkan subsidi atau langkah penyelesaian yuran melalui peruntukan belanjawan untuk pemain industri bagi mengurangkan kos operasi mereka dalam mematuhi peraturan sisa.
Sebagai contoh, katanya, kerajaan boleh memperuntukkan subsidi sebahagian daripada kos pelupusan sisa atau melaksanakan yuran alam sekitar tetap yang dimasukkan dalam cukai pelabuhan supaya kapal tidak dikenakan caj tambahan berdasarkan jumlah sisa.
“Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) dan badan industri mencadangkan model yuran yang menghapuskan halangan kos untuk menggunakan kemudahan penerimaan sisa.
“Dengan mengamalkan model-model ini di Malaysia yang berkemungkinan melalui dana dan disokong oleh kerajaan dengan membayar balik pelabuhan atau kontraktor PRF, semua kapal akan digalakkan untuk membuang sisa di pelabuhan daripada mengambil risiko membuat pembuangan haram,” katanya.
Beliau menegaskan, langkah-langkah sebegini akan meningkatkan piawaian MARPOL selain memastikan syarikat yang mematuhi peraturan tidak dikenakan kos yang lebih tinggi.
Manfaat tambahan, katanya, kapal yang berlabuh dengan bendera Malaysia selain mematuhi MARPOL akan mengelakkan penahanan atau denda di pelabuhan asing sekali gus meningkatkan reputasi antarabangsa mereka.
Dana Pembangunan Kapasiti dan Penguatkuasaan
Zulaikha menekankan iaitu memperkukuhkan pematuhan juga memerlukan penguatkuasaan yang kukuh.
Beliau berkata, Belanjawan 2026 boleh memperuntukkan dana untuk latihan pegawai Kawalan Negeri Pelabuhan dan pemeriksa alam sekitar marin bagi meningkatkan keupayaan mereka untuk memeriksa kapal bagi pelanggaran undang-undang MARPOL selain memastikan sisa tidak dibuang di laut.
"Ini termasuk pelaburan dalam pengawasan seperti penggunaan dron udara atau pemantauan satelit bagi pembuangan haram di perairan Malaysia serta penyelarasan yang lebih baik antara agensi," katanya.
Beliau menambah dengan meningkatkan kapasiti penguatkuasaan, Malaysia dapat memenuhi tanggungjawabnya sebagai Negara Pesisiran Pantai untuk mencegah pencemaran di perairannya.
Secara keseluruhannya, Belanjawan 2026 boleh membiayai peningkatan pematuhan melalui infrastruktur, subsidi serta penambahbaikan penguatkuasaan, selaras dengan konvensyen antarabangsa sambil mengekalkan sektor maritim Malaysia yang cekap dan menarik.
Peranan Kerajaan melalui Belanjawan 2026
Belanjawan 2026 juga boleh memperuntukkan sumber untuk program berbilang pihak berkepentingan yang mengumpulkan pengawal selia, pengendali pelabuhan, pemain industri dan penyelidik untuk berinovasi dalam pengurusan sisa, katanya.
Dari segi penguatkuasaan, kerajaan perlu menyelaraskan dasar-dasarnya untuk memberi ganjaran kepada amalan pengurangan sisa.
Ia mungkin dilaksanakan dengan menyesuaikan dasar perolehan untuk memihak kepada syarikat penghantar barangan dan penyedia logistik yang mempunyai rekod yang kukuh dalam alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) atau dengan menyematkan kriteria ekonomi pekeliling dalam lesen operasi pelabuhan.
Zulaikha turut berkata melalui langkah-langkah dalam Belanjawan 2026, kerajaan memberi isyarat iaitu pengurusan sisa maritim bukan sekadar mengenai pematuhan tetapi juga peluang dan kesempatan untuk berinovasi serta memimpin dalam kelestarian.
"Ini boleh melibatkan penajaan penyelidikan terhadap teknologi baharu iaitu Tindakan 5 dalam Pelan Tindakan Sampah Marin yang menekankan penggunaan inovasi untuk menangani pencemaran marin serta menyediakan dana permulaan untuk syarikat baharu yang menangani sisa kapal," katanya.
"Melalui penyepaduan usaha-usaha ini ke dalam agenda ESG dan ekonomi kitaran negara, Malaysia dapat memperkukuh tanggungjawab alam sekitarnya sambil turut menjana nilai ekonomi selain satu kemenangan yang sebenar disokong oleh keutamaan belanjawan yang bijaksana," tambahnya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dijadualkan membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen pada 10 Okt, 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial