AM

Peserta FFC Dan TMTG Malaysia Ke Gaza Setuju Tandatangan Surat Pengusiran - Mohd Afandi

06/10/2025 07:19 PM

SERDANG, 6 Okt (Bernama) -- Semua peserta Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) bersetuju untuk terus menandatangani surat pengusiran jamin pembebasan segera jika ditawarkan pilihan itu oleh rejim Zionis.

Penolong Ketua Delegasi Malaysia Prof Dr Mohd Afandi Salleh berkata keputusan sebulat suara semua sembilan orang peserta Malaysia diambil kerana faktor keselamatan serta tidak mahu mengambil sebarang risiko lain.

“Malah kami juga telah menghantar semua salinan pasport kepada Kedutaan Malaysia di Mesir yang akan berperanan membantu memudahkan proses kepulangan kami ke Malaysia.

“Pihak Kedutaan Malaysia di Turkiye juga ada menghubungi saya dan memaklumkan, sekiranya kami ditahan oleh rejim Israel, proses yang akan dilaksanakan ke atas peserta Malaysia menyertai FFC sama seperti apa yang dilalui oleh GSF (Global Sumud Flotilla),” katanya.

Beliau bersama peserta Malaysia di atas Kapal Conscience yang kini berada kira-kira kurang 230 batu nautika dari Gaza berkata demikian dalam panggilan video secara langsung bersama pengamal media di ibu pejabat Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) di sini hari ini.

Ditanya mengenai mood peserta FFC ketika ini, Mohd Afandi berkata semuanya kekal bersemangat tinggi biarpun ada mendengar beberapa perkhabaran agak tidak baik mengenai pengalaman anggota pelayaran GSF yang  ditahan pihak Israel sebelum ini.

“Semuanya baik, bersemangat biarpun berhadapan dengan ujian laut bergelora yang agak kuat selain kehadiran beberapa dron (dipercayai milik Israel) yang berlegar-legar di atas kapal dipercayai bertujuan menakut-nakutkan peserta misi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE Kamarul Zaman Shaharul Anwar dalam sidang media memaklumkan semua lapan kapal layar TMTG telah bergabung dengan kapal Conscience pada 11.30 pagi waktu Malaysia hari ini.

“Semua kapal kini berlegar di perairan antarabangsa untuk menunggu kapal pemerhati Shireen Abu Akleh yang membawa pasukan peguam,” katanya.

Lapan wakil Malaysia dalam kapal yang berlepas dari Porto Otranto, Itali pada 30 Sept ialah Ketua Delegasi Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali; tiga doktor Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman dan Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi; dua pensyarah Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail; Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE Norsham Abu Bakar serta wartawan Astro Awani Syafik Shukri Abdul Jalil.

Seorang lagi doktor Dr Maziah Muhammad berada di kapal Umm Saad yang berlepas dari Catania, Sicily pada 27 Sept bersama tujuh kapal layar lain menuju Gaza.

Secara keseluruhan, misi FFC kali ini disertai kira-kira 150 peserta dari 25 negara dengan MyCARE mengetuai peserta Malaysia. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan