KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Syarikat sistem pengangkat dan kren, Powertechnic Group Bhd berhasrat untuk mengumpulkan RM22.05 juta melalui tawaran awam permulaan (IPO) menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd pada 28 Oktober 2025.
Pengarah Urusan Powertechnic Ivan Na Keh Chai berkata hasil daripada IPO itu akan dipakai bagi membiayai pengembangan perniagaan dan pengukuhan operasi.
Lebih kurang RM4.5 juta akan digunakan untuk membangunkan bilik pameran serta pejabat jualan produk baharu, RM3.8 juta ke arah perbelanjaan modal, RM2.8 juta sebagai bayaran balik pinjaman bank, RM6.65 juta untuk modal kerja dan RM4.3 juta bagi menampung perbelanjaan penyenaraian.
Dana tersebut juga akan menyokong pengembangan syarikat di Pulau Pinang, Sarawak, Singapura dan Indonesia.
“Di Semenanjung Malaysia, tumpuan perindustrian utama adalah di Selangor dan Kuala Lumpur, diikuti oleh Pulau Pinang dan Kulim, Johor Bahru kini muncul sebagai hab perindustrian yang pesat berkembang yang mana kami bernasib baik kerana sudah bertapak awal.
“Selepas membangunkan pangkalan kami di kawasan selatan dan tengah, fokus kami seterusnya adalah di wilayah utara, dengan Pulau Pinang dan Kulim menunjukkan potensi pertumbuhan yang mantap. Di sebelah timur, kami telah lama membuat pembekalan di Kuching, ini menyokong keputusan kami untuk berkembang di sana,” katanya kepada pemberita semasa pelancaran prospektus syarikat hari ini.
Sementara itu, Akauntan Kumpulan Powertechnic, Chin Yanjiang berkata kemudahan baharu di Pulau Pinang serta Sarawak dijadualkan siap menjelang tahun depan tanpa mengambil kira sebarang kelewatan yang tidak dijangka.
“Buat masa sekarang, kami menumpukan pemasaran di Pulau Pinang dan Kuching. Pada masa yang sama, kami sedang menguji pengembangan luar negara melalui pemasaran digital, terutamanya di Indonesia,” katanya.
Beliau menjelaskan Singapura sudah menjadi sebahagian daripada pasaran sedia ada Powertechnic dan menjangkakan usaha pemasaran serantaunya akan mempunyai kesan berantai yang akan mengukuhkan jangkauan keseluruhan syarikat itu.
Chin ketika mengulas mengenai modal kerja berkata kebanyakan peruntukan akan digunakan bagi pembayaran pembekal dan pengembangan inventori untuk menyokong peningkatan permintaan pengeluaran.
“Sejajar dengan pengembangan kami, syarikat perlu meningkatkan bekalan inventori dan bahan untuk memenuhi keperluan pengeluaran. Oleh itu, sebahagian besar modal kerja kami akan diperuntukkan untuk pembayaran pembekal,” katanya.
Mengenai masa hadapan syarikat berkenaan, Chin berkata Powertechnic tetap optimis mengenai prospek pertumbuhannya dalam tempoh lima tahun akan datang, yang disokong melalui pengembangan operasi termasuk penambahbaikan berterusan dalam keupayaan automasi dan pemasaran.
IPO Powertechnic melibatkan pengeluaran 63 juta saham baharu pada 35 sen setiap satu.
Daripada jumlah ini, 15.6 juta saham adalah untuk langganan awam, manakala 10 juta lagi diperuntukkan kepada pengarah, kakitangan dan mereka yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.
Sebanyak 19.6 juta saham akan diberikan kepada pelabur terpilih, manakala 17.8 juta dikhaskan sebagai penempatan persendirian kepada pelabur bumiputera yang diluluskan di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (miti).
IPO tersebut dibuka untuk langganan sehingga 5 petang pada 14 Oktober 2025.
TA Securities Holdings Bhd merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO syarikat itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial