AM

FDAM-Tekun Nasional Jalin Kerjasama Bantu Pembiayaan Ahli Industri Filem

06/10/2025 06:20 PM

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) menjalin kerjasama strategik dengan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional bagi membuka akses pembiayaan patuh syariah kepada ahli persatuan dalam usaha memperkukuh pembangunan projek penerbitan tempatan.

Pengerusi FDAM Datuk Afdlin Shauki berkata menerusi kerjasama itu, ahli persatuan layak memohon kemudahan di bawah Pembiayaan Skim Kontrak-i dan Skim Tekun Niaga yang diyakini dapat membantu mengatasi kekangan modal yang sering dihadapi penggiat industri.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen kepimpinan FDAM dalam memperjuangkan kepentingan ahli serta memastikan kesinambungan karya penerbit tempatan.

“FDAM menyedari cabaran dihadapi ahli dalam mendapatkan pembiayaan, terutama ketika menyiapkan kertas kerja pembentangan di Radio Televisyen Malaysia pada awal Oktober ini. Kerjasama ini hadir tepat pada masanya bagi memberi sinar baharu kepada penggiat industri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Afdlin berkata kemudahan pembiayaan patuh syariah itu bukan sahaja menjamin ketelusan urus niaga, malah membolehkan penerbit memberi tumpuan penuh terhadap penghasilan karya bermutu tinggi dan berdaya saing di pasaran.

Beliau berkata akses kepada skim pembiayaan strategik itu dijangka memperkukuh integriti produksi serta meningkatkan keupayaan penerbit tempatan dalam industri perfileman dan penyiaran negara.

“FDAM percaya kerjasama dengan TEKUN Nasional ini akan menjadi pemangkin kepada kelangsungan projek jangka panjang, sekali gus mengangkat martabat penggiat seni tanah air sebagai penerbit profesional dan berwibawa,” katanya.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan