PENDANG, 6 Okt (Bernama) -- Seluas 624 hektar tanaman padi dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Wilayah III di sini ditenggelami banjir berikutan hujan lebat Jumaat lepas, menyebabkan kerugian kira-kira RM4.6 juta.
Pengerusi MADA Datuk Dr Ismail Salleh berkata hampir keseluruhan tanaman yang sedang menunggu masa untuk dituai musnah akibat bencana itu.
Beliau berkata kerugian adalah berdasarkan kepada purata kiraan hasil lima tan padi bagi setiap hektar sawah, manakala bancian kerugian akan dilaksanakan selepas ini bagi urusan pampasan kepada pesawah terjejas.
“Kita tunggu arahan Jabatan Pertanian untuk mula buat bancian dan pampasan atau insurans bergantung kepada bancian yang dibuat,” katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan kawasan tanaman padi yang ditenggelami banjir di Kampung Permatang Limau di sini, hari ini.
Ismail berkata masalah banjir di kawasan itu akan dapat diatasi selepas projek rancangan tebatan banjir (RTB) Sungai Anak Bukit dan Sungai Pendang siap kelak, yang dijangka mampu menampung hingga 80 peratus aliran air dari kawasan hulu.
“Isu lain ialah purata turunan hujan di Kedah setahun adalah dalam 2,100 milimeter (mm) dan hingga Oktober kita telah terima hujan sebanyak 1,400 mm,” katanya.
Beberapa daerah di Kedah terjejas banjir sejak Jumaat lepas dan setakat pagi tadi 164 orang daripada 51 keluarga masih ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS), iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar di Kota Setar dan Dewan Serbaguna di Pokok Sena.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial