DUNIA

Pakistan Berhasrat Perkukuh Kerjasama Perdagangan Dan Teknologi Dengan Malaysia

06/10/2025 03:15 PM

 

Oleh Noor Bakhtiar Ahmad

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Pakistan berhasrat memperkukuh hubungan jangka panjangnya dengan Malaysia melalui peluasan kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, pertanian dan teknologi baharu bagi mencapai pertumbuhan ekonomi serta pembangunan bersama.

Perdana Menteri Pakistan Muhammad Shehbaz Sharif berkata Islamabad berhasrat untuk memanfaatkan pengalaman Malaysia dalam bidang teknologi maklumat, kecerdasan buatan dan latihan vokasional, sambil berkongsi kepakaran sendiri bagi menjayakan projek-projek yang membawa manfaat ketara kepada kedua-dua negara.

“Oleh itu, hari ini saya ingin nyatakan secara terbuka bahawa Pakistan mahu berganding tangan dengan Malaysia, bukan sekadar memanfaatkan pengalaman anda, tetapi turut membangunkan usaha sama dan projek yang menguntungkan kedua-dua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mesyuarat dua hala yang membincangkan pelbagai isu termasuk kemudahan perdagangan, promosi pelaburan dan pertukaran rakyat dengan rakyat.

Shehbaz berkata kemajuan pesat Malaysia dalam bidang ekonomi serta tumpuan terhadap inovasi, teknologi dan pembangunan mampan di bawah visi MADANI pimpinan Anwar menjadi inspirasi kepada negara-negara membangun seperti Pakistan untuk mencontohi dan menjalin kerjasama rapat.

“Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang pada tahap yang memberangsangkan.

“Perdagangan global anda meningkat, lebihan dagangan positif dan eksport juga terus bertambah.

“Ini antara bidang di mana Pakistan boleh memanfaatkan pengalaman Malaysia,” katanya.

Shehbaz menegaskan Pakistan bersedia bekerjasama rapat dengan Malaysia dalam sektor yang mempunyai kelebihan daya saing bersama, termasuk pertanian, pemprosesan makanan, teknologi maklumat serta pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional.

“Pertanian ialah antara bidangnya, teknologi maklumat pula bidang lain, dan sudah tentu latihan vokasional dan kemahiran, Pakistan juga menunjukkan prestasi yang sangat baik.

“Kami mempunyai ribuan pelajar di Malaysia dan sekitar 150,000 rakyat Pakistan yang turut menyumbang kepada usaha pembangunan negara ini,” katanya.

Perdana Menteri Pakistan itu turut menyampaikan penghargaan kepada Malaysia atas keputusan memperuntukkan kuota bernilai US$200 juta bagi mengimport daging dari Pakistan, yang disifatkannya sebagai langkah penting dalam memperkukuh perdagangan halal dan memperluas peluang pasaran bagi pengeksport Pakistan.

“Saya amat berterima kasih atas pengumuman itu, namun ingin saya tegaskan bahawa kuota ini akan dikawal selia berdasarkan mekanisme harga pasaran serta mematuhi semua keperluan pensijilan halal pihak berkuasa Malaysia.

“Kami akan berusaha sedaya upaya untuk memenuhi segala syarat yang ditetapkan,” katanya sambil menambah Pakistan bukan sahaja berhasrat memenuhi kuota berkenaan, malah berusaha meningkatkannya pada masa akan datang.

“Dengan izin Allah, kita bukan sekadar mencapai kuota US$200 juta itu, malah akan meningkat lagi apabila pengguna berpuas hati — kerana apabila kepercayaan terbina, tiada had bagi potensi perdagangan,” katanya.

Shehbaz Sharif kini berada di Malaysia bagi lawatan rasmi tiga hari atas jemputan Anwar, sebagai kunjungan balas kepada lawatan rasmi Perdana Menteri Malaysia ke Pakistan pada Oktober 2024, mencerminkan hubungan dua hala semakin erat antara kedua-dua negara.

Selepas hubungan Malaysia–Pakistan ditingkatkan kepada Perkongsian Strategik pada Mac 2019, kedua-dua negara yang menjalin hubungan diplomatik sejak 1957 merekodkan jumlah perdagangan keseluruhan sebanyak RM8.07 bilion (US$1.76 bilion) pada 2024, meningkat 25.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Eksport utama Malaysia ke Pakistan termasuk minyak sawit, produk petroleum dan bahan kimia, manakala import dari Pakistan meliputi hasil pertanian, tekstil, pakaian, kasut dan produk petroleum.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan