Oleh Mohd Noor Azeery Idris
KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Agrobank berharap Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dapat terus ditambah baik dalam Belanjawan 2026 berikutan pencapaian positifnya terhadap ekonomi, khususnya dalam memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam sektor agromakanan.
Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin dalam temu bual bersama Bernama berkata juga optimis terhadap peningkatan potensi sektor pengeluaran, penternakan, perikanan dan pembuatan dalam pertanian serta jaminan makanan.
“Kami ada beberapa segmen yang akan dititikberatkan (susulan Belanjawan 2026) terutamanya (bagi membantu) usahawan muda yang mempunyai kurang pengalaman dalam mengendalikan perniagaan.
“Agrobank juga bersedia melatih mereka supaya lebih maju dan berkembang, seterusnya beralih kepada perniagaan yang lebih besar. Kami menyasarkan golongan wanita, B40 serta yang telah menamatkan pengajian,” katanya.
Dalam Belanjawan 2025, kerajaan telah meneruskan pelaksanaan SJPP dengan jaminan sehingga RM20 bilion bagi memperkukuh akses pembiayaan kepada usahawan yang berdepan kekangan cagaran.
Sektor pertanian juga dianggap sebagai antara yang berisiko tinggi kerana kegiatan ini tertakluk kepada banyak faktor-faktor luaran seperti seperti keadaan cuaca tidak menentu, geoekonomi, geopolitik dan sebagainya.
"Menerusi skim SJPP ini, pihak bank dan pembiaya lebih yakin untuk mengeluarkan pembiayaan kepada mereka yang terlibat dalam sektor ini terutamanya daripada pelanggan (Perusamikro dan kecil tidak mempunyai cagaran," katanya.
Tengku Ahmad Badli Shah berkata pelbagai institusi kewangan terlibat dalam skim ini, termasuk Agrobank yang telah menyalurkan RM5.3 bilion kepada usahawan dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan setakat ini.
Beliau berkata, hampir 12,000 pelanggan, merangkumi lebih 8,000 usahawan mikro dan kecil manakala selebihnya daripada segmen sederhana telah mendapat manfaat SJPP di bawah bank itu.
Pada tahun-tahun sebelum ini, Agrobank hanya menyalurkan sejumlah RM1 bilion hingga RM2 bilion kepada usahawan, sekali gus memaparkan sambutan kian memberangsangkan dalam kalangan masyarakat yang mahu menceburi bidang perniagaan.
Tengku Ahmad Badli Shah berkata skim SJPP turut mencatat kadar bayaran balik yang baik dengan nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) rendah, menandakan impak positif skim tersebut memperkukuh daya tahan usahawan agro.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan SJPP yang menawarkan jaminan sehingga 80 peratus daripada jumlah pinjaman, terbukti memberi manfaat besar kepada mereka, terutama PKS, dalam pengembangan pelaburan di sektor strategik, digitalisasi, dan penciptaan peluang pekerjaan baharu.
“Kami menilai setiap pembiayaan berdasarkan kepada rekod jualan dan keuntungan mereka dan kebanyakannya peniaga-peniaga kecil dan mikro seumpamanya tidak mempunyai rekod atau tidak menyimpan rekod pembiayaan kerana banyak yang menggunakan tunai dan bukan menerusi akaun.
“Di bawah SJPP, Agrobank memberi latihan agar mereka menggunakan sistem perakaunan dan pengurusan yang betul, sekali gus membolehkan mereka memahami selok-belok pengurusan kewangan syarikat dengan lebih berkesan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial