SUKAN

Dua Penjaga Gol Harimau Malaya Digugurkan Kerana Faktor Kesihatan

06/10/2025 12:11 PM

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Dua penjaga gol kebangsaan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dan Suhaimi Husin, dipanggil menyertai skuad Harimau Malaya menjelang aksi kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos Khamis ini, bagi menggantikan rakan sepasukan yang mengalami masalah kesihatan.

Menurut hantaran di Facebook rasmi pasukan bola sepak negara Malaysia NT, kedua-dua pemain itu menggantikan Muhammad Azri Abdul Ghani dan Muhammad Haziq Nadzli yang terpaksa meninggalkan kem latihan atas faktor kesihatan.

Jumaat lepas, ketua jurulatih kebangsaan Peter Cklamovski mengumumkan senarai 29 pemain termasuk tiga muka baharu iaitu Declan Lambert, Jordan Mintah dan Muhammad Ramadhan Saifullah ke kem latihan pusat pasukan negara di Vientiane bermula hari ini.

Anak buah Cklamovski dijadualkan berlepas ke Vientiane hari ini sebelum pertembungan dengan Laos berlangsung di Stadium New Laos National pada Khamis.

Pasukan negara kemudian akan menyambung kem latihan pusat bermula 10 hingga 13 Okt di sini, sebagai persediaan menghadapi Laos dalam aksi timbal balik di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa depan.

Malaysia kini berada di landasan tepat dalam misi membuat penampilan kedua berturut-turut di pentas Piala Asia apabila mendahului saingan Kumpulan F dengan enam mata, diikuti Vietnam di tempat kedua berkongsi tiga mata dengan Laos, dan Nepal tercorot tanpa sebarang mata.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan